‘Demi Allah, saya nak berpisah bukan kerana duit’

KEKAL dengan pendirian, pelakon Uqasha Senrose memohon suaminya yang juga aktor Kamal Adli untuk menceraikannya selepas melalui pelbagai ujian sepanjang hidup bersama sebelum ini.

Menurut Uqasha, 33, dia tidak perlu mengusulkan sebarang bukti lagi sebaliknya kekal dengan pendirian untuk berpisah dengan Kamal.

“Saya tahu kenapa saya nekad inginkan perpisahan. Jadi, jangan sulitkan dan membenarkan saya diperlekeh sebegini teruk. Kalau semua hal buruk itu pada saya, lepaskan.

“Awak tak akan terputus dengan anak awak sampai mati. Cukuplah dan saya muhasabah diri juga untuk tutup cerita ini, lepaskan saya.

“Saya mengalah dan hanya manusia biasa yang banyak khilaf. Awak tetap ayah
kepada anak yang saya kandungkan.

“Saya fikir balik, awak bukan lawan atau pesaing. Saya doakan prosiding hakam selepas ini dipermudahkan,” katanya dalam InstaStory.

Katanya, segala punca perpisahan biarlah hanya dirinya sahajanyang mengetahui selain yakin Allah SWT akan sentiasa berada bersamanya.

“Ini tentang masa depan dan saya yang nak berpisah dengan Kamal atas sebab yang hanya saya saja tahu serta lalui.

“Tidak ada sebuah rumah tangga pun yang tiada ujian, pasti ada baik dan turun, pastinya Allah SWT yang Maha mengetahui segala-galanya. Soroklah hujung dunia pun Dia Maha Melihat dan Dia tidak pernah tidur.

“Semua fitnah, tohmahan dan kecaman yang amat melampau tetapi saya tidak salahkan sesiapa untuk memilih atau menilai.

“Setiap orang ada andaian sendiri dan saya maafkan semua yang memaki hamun dan anggap kalian jahil serta tidak tahu menahu hal yang sebenar.

Dalam masa sama, dia juga sempat menangkis dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya memfailkan cerai atas alasan mahu mencari pasangan lain yang lebih kaya dan berharta.

Kata Uqasha, perkara tersebut fitnah semata-mata dan keinginan (mencari pasangan kaya) itu tidak pernah terlintas dalam kotak fikirannya.

“Terpulang atas tanggapan masing-masing cuma ada beberapa perkara yang saya nak betulkan iaitu saya nak orang kaya? Jadi, kalian semua menilai dia (Kamal) tidak kaya ke?

“Saya memilih untuk berpisah bukan kerana duit, demi Allah dan demi anak saya, Hawra Uqaira. Saya bekerja ketika hamil sehingga usia kandungan empat bulan barulah berhenti dan syukur diberi rezeki jadi duta beberapa produk.

“Semua itu buat saya berfikir panjang untuk membuat keputusan yang sangat besar pada 1 Oktober lalu.

“Sebelum kejadian sekarang ini yang
bertubi-tubi ujian dan dugaan. Jadi, saya ingin memohon lepaskanlah saya,” ujarnya.

Sedar menjadi mangsa kecaman ramai, dia bagaimanapun berterima kasih kepada setiap individu yang berada di sisinya sepanjang melalui fasa kemelut rumah tangga ketika ini.

“Cukuplah setiap hinaan daripada kalian dan kepada semua orang terutama keluarga yang sentiasa bersama ketika saya berada di titik terendah, terima kasih. Allah saja yang dapat balas jasa kalian,” jelasnya.

Terdahulu, keputusan JKP antara kedua-dua keluarga tidak mencapai kata sepakat apabila Kamal masih ingin mempertahankan rumah tangga mereka.

Susulan itu, Hakim Syariah melantik hakam iaitu perunding tara bagi sebutan seterusnya yang dijadualkan pada 12 Januari 2026. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok