‘Bila susah, hampir gila, tak ada seorang pun tanya khabar’

PELAKON Dazrin Kamarudin mengakui pernah terjatuh ke titik paling bawah dalam hidup termasuk ditinggalkan teman rapat selain berdepan tekanan emosi luar biasa sebelum kembali bangkit melalui dunia perniagaan.

Ujar Dazrin atau nama sebenarnya Dazrin Kamarudin, 37, perubahan sikap orang sekeliling menjadi pengajaran paling besar sepanjang perjalanan hidup baik sebagai manusia biasa mahupun anak seni.

Itu lumrah kehidupan dan terus-terang saya sendiri lalui semua itu. Dulu waktu ada nama dan tawaran kerja melimpah, semua orang mengaku kawan serta saudara.

“Namun bila saya jatuh, saya hanya berkurung seorang diri di rumah sampai hampir gila. Tak ada seorang pun datang bertanya khabar,” katanya kepada HibGlam.

Lebih menyedihkan kata pelakon drama Adam & Hawa itu, ada tawaran berlakon sekadar tinggal janji tanpa khabar susulan.

Namun dia memilih jalan matang dengan tidak menyimpan dendam sebaliknya berdamai dengan takdir.

Waktu susah, ada penerbit sudah tawar berlakon tetapi akhirnya buat-buat lupa. Bila saya mula naik semula, ada pula datang menempel dengan kejayaan.

“Saya tak simpan dendam. Saya reda dan berdamai dengan takdir. Kalau ada kebaikan mampu dilakukan, insya-Allah saya akan hulurkan bantuan,” ujarnya.

Mengimbau detik paling getir, bapa dua anak itu mengakui pernah berdepan kesempitan kewangan sehingga terpaksa mengorek tabung demi mengisi minyak kereta.

“Dulu tawaran banyak, duit pun masuk tanpa henti. Contohnya belanja RM10,000 boleh dapat RM15,000. Lepas itu datang zaman kejatuhan.

Sampai satu tahap, duit dalam bank kering dan saya terpaksa korek tabung untuk isi minyak. Semua itu kerja Allah, kita tak boleh persoal,” luahnya.

Bangkit daripada kejatuhan, Dazrin mencuba pelbagai bidang sebelum menerima pelawaan rakan niaga untuk menceburi perniagaan karpet dengan niat membantu rumah ibadah.

“Bila jatuh, macam-macam saya cuba tapi tak menjadi. Sehinggalah satu hari rakan kongsi pelawa buka bisnes karpet dengan niat bantu rumah Allah.

“Sejak itu saya mula berniaga dan mahu beri peluang orang ramai merasai kualiti karpet terbaik.

“Bila hidup susah, saya sendiri tertanya-tanya kenapa semua ini berlaku. Sebab itu sekarang saya cuba bantu orang lain sedaya upaya kerana saya tahu rasa hidup susah,” jelasnya.

Terdahulu, Dazrin pernah mendedahkan dirinya sering dipandang rendah ketika melalui zaman kejatuhan, namun pengalaman itu menjadi titik kebangkitan untuk melangkah dengan lebih berjiwa besar dan berpijak pada realiti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok