KONSERT Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) minggu keenam menyaksikan perjalanan Korie terhenti sekali gus menjadi peserta ketiga tersingkir daripada pertandingan itu.
Pada malam konsert yang bertemakan Metafora itu, Korie menyampaikan lagu Belum Siap Kehilangan daripada Steven Pasaribu.
Disebabkan masalah kesihatan, Korie tidak dapat membuat persembahan dengan baik apabila sekadar mengumpul markah sebanyak 58.50 peratus.
Menurut juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Korie mempunyai masalah pernafasan dan tertinggal patah perkataan dalam lirik nyanyiannya.
Kamu ada tertinggal perkataan mu. Saya okey dengan ‘feel’ kamu tetapi kamu ada masalah dengan pernafasan dan kawalan melodi. Itu adalah masalah teknikal,” komen Ramli.
Peserta sensasi, Nubhan pula buat pertama kali menjadi juara mingguan dengan markah sebanyak 74 peratus selepas membuat persembahan bertenaga menerusi lagu Aladin yang dipopularkan oleh kumpulan Spider.
Sementara itu Korie atau nama sebenarnya Azahari Aminuddin, 56, meluahkan rasa syukur kerana berjaya sampai ke minggu keenam dan akan mengingati kenangan dalam GV12 buat selamanya.
“Terima Kasih. Alhamdulillah sampai minggu keenam pun dah lebih daripada apa yang saya harapkan.
Banyak perkara baharu yang saya belajar dalam GV12. Pelbagai genre lagu saya persembahankan termasuklah menjadi ‘Elvis Presley’ minggu lalu.
“Selepas ini saya akan terus bergiat aktif dalam arena muzik dan insyaAllah akan mengeluarkan single baharu tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert GV12 minggu keenam, semalam.
Dengan tersingkirnya Korie maka tinggal 10 lagi peserta yang akan meneruskan perjuangan pada minggu Ketujuh.
Mereka ialah Nubhan, Mendua, Ruri Republik, Mark Adam, Freshies, Iskandar Ismail, Krisya, Shae dan Rahmat Ekamatra.- HIBGLAM
