Nak kahwin lagi sebab saya nak anak – Nur Fazura

TIDAK menutup pintu hati buat lelaki selama-lamanya, pelakon dan usahawan terkenal Nur Fazura terbuka untuk mendirikan rumah tangga lagi kerana dia mahu menambah zuriat.

Kenyataan itu dikeluarkan Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 42, sewaktu berbual dengan peminat di sebuah ekspo di Singapura.

“Saya mahu berkahwin lagi sebab saya mahukan anak lagi. Tolong doakan saya,” katanya kepada peminat tersebut.

Selama beberapa hari festival berlangsung, video-video Fazura melayani peminat serta menyantuni rakan-rakan selebriti sentiasa tular dalam media sosial.

Ramai netizen yang memuji cara Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) itu melayan peminat dan mengunjungi reruai atau booth rakan-rakan selebriti yang berniaga di sana untuk menyokong mereka.

Antara reruai rakan selebriti yang dikunjungi Fazura ialah Rita Rudaini, Roslan Shah, Dynas Mokhtar, Ifa Raziah, Reen Rahim dan Shuk Sahar.

“Ya Allah wanita kuat ini. Bangga dengan kamu,” kata Fazura sewaktu bertemu Rita Rudaini.

Untuk rekod, Fazura sah bercerai dengan Fattah Amin pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok