Umur 40 tahun, Ary Hussin lancar single sulung

PENDATANG baharu, Ary Hussin percaya masih belum terlambat untuknya menjadi penyanyi arus perdana pada usia 40 tahun.

Menurut Ary atau nama sebenarnya Muhammad Hadzri Hussin, sudah lebih 20 tahun dia mencuba nasib untuk bertapak dalam arus muzik perdana namun rezeki belum berpihak kepadanya.

Dalam tempoh 20 tahun pelbagai pertandingan saya cuba sertai. Akademi Fantasia sahaja sampai tujuh kali. Saya juga pernah cuba menyertai rancangan Vokal Bukan Sekadar Rupa dan Suara Viral.

“Namun peluang menyertai rancangan Gimme The Mic menjadi pintu untuk saya masuk dalam industri muzik,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran single Luka Terpaling Dalam, semalam.

Sebelum merakamkan single Luka Terpaling Dalam, Ary pernah bekerja sebagai penjual burger.

Ditanya tidakkah dia gusar andai terus dikaitkan dengan pekerjaan lamanya, Ary pantas menjawab tidak kisah dengan kata-tanggapan orang lain.

“Sebelum jual burger saya pernah buat macam-macam kerja termasuk jual kereta.

Namun, jauh di sudut hati saya tetap mahu menjadi penyanyi. Saya percaya perjalanan rezeki setiap orang berbeza. Mungkin masa saya agak lambat.

“Syukur, bakat saya dipandang A7 Entertainment yang sudi mengambil saya menjadi artis mereka,” jelasnya.

Bercerita tentang single solo pertama ciptaan Edrie Hashim, Ary berkata, dia terharu kerana idolanya itu sanggup mencipta lagu untuknya.

Sejujurnya tak pernah sangka salah seorang ‘childhood’ hero saya iaitu Edrie Hashim sudi mencipta lagu untuk saya. Ibarat mimpi jadi nyata.

“Saya seorang yang cerewet tentang pemilihan lagu. Tetapi kali pertama saya dengar lagu ciptaan Edrie, berair mata saya,” kongsinya.

Ditanya sejauh mana harapannya terhadap dunia nyanyian, Ary menegaskan bukan populariti yang dikejar sebaliknya mahu berkongsi bakat.

Pada usia 40 tahun ini, populariti bukan lagi menjadi keutamaan. Cukuplah sekadar saya dapat berkongsi bakat serta muzik saya. Saya harap lagu saya dapat diterima ramai.

“Sebagai seorang yang boleh mencipta lagu, saya juga berharap dapat bekerja di belakang tabir menghasilkan lagu untuk penyanyi-penyanyi lain,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok