Johan, Zera hidupkan ‘roh’ Uda dan Dara, menggunung pujian

MEMILIH Uda dan Dara karya Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang, Istana Budaya menutup tirai 2025 dengan bergaya menerusi pementasan kisah cinta malar segar itu di Playhouse Theatre, The Campus, Ampang.

Teater Muzikal Uda dan Dara arahan Nik Muhamad Faiszulikwan bersama Dr. Marlenny Deenerwan bukan hanya menyampaikan mesej kemanusiaan dalam cinta, malah mengangkat soal maruah serta keikhlasan dalam kehidupan.

Memberi kepercayaan kepada aktor Johan As’ari sebagai Uda bersama Zera Hariz (Dara), perbezaan darjat antara anak petani dengan si gadis daripada keluarga bangsawan menjadi nadi naratif pementasan terbabit.

Pengarah Artistik, Tari dan Muzik iaitu Irwan Ismadi Shahrim, Sharifah Raha Syed Mustafa dan Nik Nizam Jaafar berkata, gabungan tari dan muzik tradisional Melayu bersama sentuhan muzikal moden ini menyuntik impak.

Serasi

Malah katanya, dua teraju utama iaitu Johan dan Zera juga serasi selain beraksi serta menyanyi dengan baik, begitu juga pelakon lain yang menunjukkan sepenuh penjiwaan.

“Gandingan Johan dan Zera dalam teater muzikal ini ‘menjadi’, bahkan kami menerima banyak respons positif penonton yang menyukai keserasian mereka.

“Walaupun nyanyian asing buat Johan, dia mampu menyahut cabaran. Begitu juga secara keseluruhannya baik. Biar disuntik elemen kontemporari, kami tetap kekalkan nilai budaya Melayu naskhah ikonik ini,” katanya selepas pementasan, baru-baru ini.

Menemui khalayak selama empat hari yang berakhir pada 23 November lalu, garapan produksi terutama menghidangkan rangkaian lagu istimewa membuatkan ramai penonton teruja.

14 lagu baharu

Pengarah Muziknya, Nik Nizam Jaafar berkata sejumlah 14 lagu baharu dicipta khas pemuzik Istana Budaya dengan mengadaptasi bahasa puitis sepenuhnya daripada karya legenda terbabit.

Antara seleksi yang melengkapkan teater berkenaan adalah lagu Dara, Senja, Menanti, Mengemping, Berbalas Senda, Uda dan Dara, Ke Kota, Aku Kaya, Rampas, Pulang, Orang Alang Bakhil dan Uda dan Dara Il.

“Semua lagu dihasilkan dalam tempoh sebulan serta dibangunkan berpandukan kepada karakter serta suasana penceritaan teater muzikal berkenaan.

“Melodinya pula dibentuk mengikut karakter. Saya perlu pastikan setiap ritma tepat dengan babak, suasana dan pergerakan cerita. Kalau watak itu ganas atau sombong contohnya watak Alang Bakhil, maka penyampaian mereka juga perlu mengikut sifat itu.

“Cuma cabarannya adalah untuk memastikan setiap pelakon bijak menyesuaikan diri dengan lagu berkenaan kerana kebanyakan mereka bukan penyanyi profesional,” katanya.

Selain Johan serta Zera, Teater Muzikal Uda dan Dara turut membariskan Farah Ahmad selaku ibu Uda, Jay Iswazir (Alang Bakhil), Amerul (Utih), Azman Hassan (Pak Long) serta Sara Sulaiman (Mak Long).

Pementasan itu merupakan usaha melonjakkan karya klasik Melayu melalui Program Memartabatkan Bahasa Karya Agung di bawah Insentif Belanjawan Madani 2025. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok