Syafiq Kyle miliki G-Wagon, bukan Lamborghini SVJ

SEBULAN selepas didakwa memiliki Lamborghini SVJ, aktor Syafiq Kyle akhirnya menerima kereta sebenar iaitu jentera mewah jenis Mercedes-Benz model G-Class atau G-Wagon.

Perkara itu dikongsikan seorang jurujual, Fuad Samsudin, yang memuat naik video memaparkan dirinya menghantar kenderaan tersebut kepada pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga itu.

“Selesai penghantaran kereta untuk Syafiq dan Mimi Lana,” tulisnya pada ruangan kapsyen video di platform TikTok.

Syafiq atau nama lengkapnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, dilihat gembira dan bersyukur dikurniakan rezeki memiliki jentera idamannya.

Dihiasi riben merah gergasi, kereta hitam pilihan pasangan selebriti popular itu merupakan kenderaan lasak SUV berpenampilan premium dengan reka bentuk ikonik yang lasak dan keupayaan luar jalan (off-road)

Berdasarkan carian harga terkini, Mercedes-Benz G-Class 2025 di Malaysia bermula dari RM1.9 juta untuk varian AMG G 63, sementara model listrik G 580 Electric antara RM958,888 hingga RM 998,888.

Pada masa sama, Fuad turut meleraikan salah faham segelintir individu mengenai dakwaan aktor terbabit membeli sebuah Lamborghini SVJ seperti yang tular sebelum ini.

“Hari itu pihak yang tak bertanggungjawab kebetulan ada di showroom semasa datang tengok kereta, mereka minta bergambar.

“Selepas itu buat posting yang mengelirukan. Memang rancangan dia (Syafiq) dari awal nak cari G Class, ini baru kereta dia keluar,” ujarnya.

Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan pelakon terbabit bersama sebuah kereta Lamborghini SVJ berwarna biru.

Perkongsian tersebut mencetuskan spekulasi apabila ramai menyangka Syafiq memiliki kenderaan yang berharga antara RM2.3 juta hingga RM3.2 juta itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok