PENYANYI Mawi terbuka merealisasikan hasrat pendatang baharu yang juga anak kepada Ina Naim iaitu Ehmad Hadie Elfardie atau Hadie untuk berduet dengannya.
Menurut Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 44, kerjasama tersebut boleh terjalin namun perlu memastikan lagu yang bakal didendangkan berkualiti dan bersesuaian dengan vokal mereka.
“Tiada masalah pun, jika sesuai boleh sahaja.
“Tengok pada ‘barang’ iaitu lagu itu sendiri, kalau sesuai, saya okey nak berduet,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Sambung Mawi, dia mengetahui kewujudan Hadie dalam industri menerusi anak tunggalnya, Cahaya Malaikha.
“Saya tahu kewujudan Hadie.
“Anak saya yang tonton Talk To My Manager ada bercerita mengenai peserta program itu termasuk Hadie,” ujarnya.
Mawi sempat menitipkan nasihat kepada Hadie dan semua pendatang baharu agar sentiasa melihat semula niat asal bergelar penyanyi.
“Nasihat saya untuk pendatang baharu kena ingat tujuan asal masuk industri. Sama ada mencari populariti semata-mata atau sebaliknya.
“Macam penyanyi, satu tanggungjawab juga buat mereka kerana lagu yang disampaikan ibarat satu risalah. Penyanyi adalah penyampai supaya mesej lagu sampai ke hati pendengar.
“Selain itu, popular juga perlu ada. Kalau tiada populariti siapa nak dengar lagu kita. Bakat dan populariti kena seiring tetapi perlu juga bergantung kepada rezeki,” katanya lagi.
Sebelum ini, Hadie dalam satu temu bual podcast meluahkan hasrat merakam lagu duet bersama Mawi yang juga bekas juara Akademi Fantasia musim ketiga. – HIBGLAM
