’24 tahun menyanyi, kepuasan muzik saya belum mati’

RANCAK melancarkan beberapa lagu baharu sejak kebelakangan ini, tidak pernah terlintas dalam fikiran Azharina Azhar untuk berlumba dengan penyanyi lain.

Menurut wanita kelahiran Sabah itu, pada usianya ketika ini, persaingan atau kesungguhan membuktikan kehebatan di mata orang sudah tidak lagi wujud dalam kamus kerjayanya.

“Jujur cakap, saya tak mampu bersaing dengan sesiapa dalam industri sebab sudah tahu, artis tumbuh macam cendawan selepas hujan.

“Sudah 24 tahun menyanyi dan ketika ini saya hanya memeriahkan suasana dalam industri.

Buat masa sekarang, saya mahu teroka lebih banyak genre sebab kepuasan saya dalam dunia muzik belum mati,” katanya pada majlis pelancaran lagu duet bersama Nana Karia berjudul Biar Gambar Berbicara baru-baru ini.

Bakal muncul dengan album penuh tahun depan, pelantun lagu Elegi Sepi itu bertegas, rasa cinta yang mendalam terhadap kerjaya seni juga antara kekuatannya untuk terus bertahan sehingga ke hari ini.

Katanya, kali ini dia sendiri yang menghasilkan album solo termasuk mengawal setiap kandungan dan muzik dihasilkan.

“Saya sendiri sudah tidak ingat album yang akan dilancarkan nanti adalah album ke berapa tetapi sekurang-kurangnya saya puas sebab hasilkan sendiri, saya kawal semua.

Paling penting, album itu dihasilkan dengan ikhlas. Penat dik nak cari duit, saya kerja keras untuknya sebab minat.

“Lagu-lagu nanti entah naik atau tidak, saya serahkan pada takdir tetapi tetap akan teruskan,” tuturnya.

Kerap muncul dengan lagu duet tahun ini, Azharina berkata dia menerima banyak tawaran kolaborasi dengan penyanyi lain, namun majoritinya terpaksa ditolak kerana kekangan jadual kerja dan masih mementingkan kualiti.

“Ada tawaran daripada golongan kurang upaya tetapi terpaksa ditolak sebab genre lagu tidak sesuai. Saya tak boleh juga main tangkap muat sahaja. Takut tiba-tiba menyanyi keluar bunyi ayam pula.

“Sedar diri juga sebab bukan semua genre boleh nyanyi tetapi saya tetap terbuka untuk berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi dan belajar muzik baharu tetapi yang sesuai dengan suara,” ujarnya.

AZHARINA mengakui kagum dengan kemampuan vokal penyanyi asal Singapura, Nana Karia yang kini menjadi rakan duetnya.

Bercerita tentang duet bersama Nana yang merupakan penyanyi kelahiran Singapura, Biar Gambar Berbicara sebuah penyatuan muzik kontemporari pop, jazz dan ‘soul’ yang sarat makna.

Gandingan tersebut bukan sekadar projek muzik biasa namun wujud daripada perjalanan dan persahabatan sejak 2016.

Pertama kali kami bertemu pada Disember 2023 di Kuala Lumpur, kemudian rekod pada Mac tahun lalu dan lahirlah lagu ini. Nana adalah penyanyi lagu ‘heavy metal’ dan saya tabik dengan kemampuannya mencuba banyak genre. Stamina dia juga ‘power’.

“Dia setuju untuk duet ini sebab lihat kejujuran saya dalam muzik. Lagu ini sarat dengan mesej,” katanya.

Sementara Nana pula memberitahu, kerjasama dengan Azharina boleh dikatakan sebagai batu loncatan untuk dikenali di Malaysia.

Saya percaya kalau ada kemahuan, pasti ada jalan. Kami melalui pelbagai proses, dari jarak jauh sehinggalah bersatu dalam studio.

Biar Gambar Berbicara membentuk realiti kehidupan yang dilalui semua manusia.Lagu ini benar-benar dekat di hati kami,” katanya yang pernah bergelar penyanyi dikir barat di Singapura.

Biar Gambar Berbicara merupakan hasil ciptaan oleh Nana sendiri, manakala lirik ditulis oleh Faizal Sapuan. Penerbitan pula digerakkan dengan gabungan tenaga kreatif Jebon Osman, Azharina serta kerjasama produksi antara Azharina Entertainment dan Soulitaire Production. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok