‘Mengaku guna basikal canggih Kak Iti, tetap kena kayuh’

PENUH cabaran dan emosi, penyampai radio Fara Fauzana mengakui tidak dapat menahan air mata ketika menempuh pendakian Bukit Kapit di Perak dalam misi kayuhan Beskal Bekpes Hot.

Biarpun mempunyai sistem sokongan yang kuat, Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, 45, tetap menghadapi kesukaran untuk mengayuh basikal di laluan berbukit.

“Itu terjadi (menangis) pada hari kedua, kita melalui Bukit Kapit dan kiri kanan saya ada Nabil bekas pelumba negara, Sofian Nabil Omar serta ‘marshal’.

“Semua saya ada, basikal canggih yang Kak Iti (panggilan Siti) bagi pinjam pun ada tapi saya tetap kena mengayuh.

“Bukit itu macam tinggi sangat untuk yang amatur macam saya, walaupun saya ditolak saya tetap tidak boleh bergerak. Di situ saya dah mula nangis,”katanya kepada Kosmo! Online usai menamatkan kayuhan 450km Mi Sedaap Beskal Bekpes Hot di Galeria SA Sentral hari ini.

Pelakon filem Girlfriend Kontrak itu turut meminta momen menangis dirakam sebagai bukti bahawa dia benar-benar mengayuh basikal dan bukan menumpang kenderaan sokongan.

“Selalunya, saya tak nak orang rekod saya menangis tapi saya suruh orang rakam. Saya nak orang tengok saya ‘struggle’.

“Sebab orang ingat saya pakai ‘e-bike’ atau konon-konon berbasikal tetapi saya masuk dalam van. Jadi, saya betul-betul nak orang tahu saya kayuh basikal,” ujarnya.

Mengulas mengenai basikal milik Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza yang digunakan sepanjang misi, Fara menjelaskan dia sendiri meminta untuk meminjamnya.

“Saya minta (pinjam basikal Siti). Saya pakai untuk latihan sebab bila pinjam barang orang kita kena cuba dulu. Tak boleh ambil dan terus pakai.

“Jadi saya buat latihan di Bukit Melawati. Saya tak malu untuk mengaku yang saya pakai basikal canggih tapi bukan jenis tekan dan jalan.

“Saya masih kena kayuh untuk menggunakan basikal canggih” jelasnya.

Dalam kesempatan itu, Fara juga berterima kasih kepada orang ramai terutamanya wanita-wanita yang menyertai misi tersebut kerana memberikan sokongan padu buat dirinya untuk menyelesaikan kayuhan sejauh 450km.

“Saya nak berterima kasih kepada orang ramai dan juga wanita-wanita yang memberikan saya semangat serta Ozlynn, yang memang muncul di mana-mana. Ada isteri yang datang memberikan sokongan dari jauh tapi dia datang dan sertai.

“Saya bersyukur dia bersama dengan saya sepanjang masa. Dia pula memang bertenaga, dan tak lupa juga saya ada dua orang rakan yang juga ‘woman cyclist’.

“Merekalah yang membuatkan saya berjaya menghabiskan kayuhan hari ini,” katanya lagi.

Hari ini, pasukan Bekpes Hot menamatkan kayuhan sejauh 450 kilometer (km) menerusi kempen Mi Sedaap Beskal Bekpes Hot.

Rombongan berbasikal diketuai barisan penyampai Hot FM iaitu Khairy Jamaluddin (KJ), Johan, Fara Fauzana dan AG bersama peserta lain itu memulakan perjalanan dari Alor Setar.

Perjalanan hari terakhir menyaksikan pasukan itu mengayuh lebih 70 km dari Kuala Selangor menuju Shah Alam bagi menamatkan misi yang dianggap antara paling mencabar pernah dianjurkan stesen radio berkenaan. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok