ENGGAN membiarkan peminat terus berteka-teki, kumpulan Dolla mendedahkan pembatalan konsert Good Girls Gone Bad berpunca daripada kegagalan penganjur melengkapkan permit dan kelulusan penting sebelum tarikh acara.
Turut terkesan, kumpulan dianggotai tiga ahli itu mengakui keputusan berkenaan bukan mudah apatah lagi seluruh pasukan sudah bekerja keras selama berbulan-bulan.
Kami mohon maaf setulus hati kepada semua iDollas. Ramai menanti konsert ini, kami pun sama.
“Kami tak sanggup berdepan keadaan di mana konsert dibatal dua atau tiga hari sebelum berlangsung. Itu lebih memalukan. Jadi keputusan ini walaupun pahit, terpaksa kami terima,” katanya dalam Instagram.
Pelantun lagu Question itu turut memaklumkan persiapan konsert sebenarnya sudah hampir siap termasuk visual, koreografi, muzik dan latihan intensif sejak beberapa bulan lalu.
Pun begitu, bagi menghargai peminat mereka mengumumkan sesi pertemuan pada 6 Disember depan selain menjanjikan sebuah konsert penuh pada tahun hadapan.
“Kami sudah curahkan tenaga dan jiwa untuk pastikan pentas itu jadi yang terbaik. Tapi keadaan tak mengizinkan.
Kami rindu nak jumpa peminat. Tahun depan, kami akan kembali dengan persembahan besar yang benar-benar berbaloi ditunggu.
“Jangan risau. Penganjur akan pulangkan semua bayaran secepat mungkin. Kami pastikan prosesnya lancar,” jelas kumpulan itu
Sebelum ini, nama Dolla meledak selepas pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun secara terbuka menegur penampilan seksi anggota kumpulan tersebut iaitu Sabronzo, Tabby dan Angel dalam video muzik (MV) terbaharu mereka, Question.
Teguran itu turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang kini sedang menilai keperluan tindakan syariah terhadap selebriti Islam berpakaian mencolok mata.
Beliau turut mengarahkan semakan semula garis panduan pemakaian selebriti Islam dalam sektor hiburan.
Universal Music Malaysia, selaku label, dalam kenyataan sebelum ini mengakui memahami keresahan masyarakat serta sentiasa mengambil kira sensitiviti penonton. – HIBGLAM
