KURANG dua minggu muncul di konsert solo anaknya, ibu kepada penyanyi Hafiz Suip, Halizawati Salleh meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Kuching, Sarawak hari ini.
Khabar duka itu dikongsi Hafiz, 35, dalam akaun Facebooknya hari ini.
Innalillahiwainnailaihirojiun… Hilangnya doa seorang ibu,” katanya ringkas.
Difahamkan, Allahyarham Halizawati, 62, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.40 malam tadi akibat komplikasi kencing manis.
Perkongsian pemilik nama penuh Mohamad Hafiz Mohamad Suip itu dihujani ucapan takziah daripada rakan selebriti dan orang ramai.
Pada konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip di Megastar Arena 1 November lalu, Allahyarham turut membuat kejutan buat anaknya dengan menaiki pentas dalam keadaan berkerusi roda.
Hafiz sebelum ini memberitahu dia menetap di Kuching, Sarawak bagi menjaga kedua ibu bapanya yang uzur.
Allahyarham menghidap penyakit diabetes kronik hingga kaki kirinya terpaksa dipotong ke paras lutut. – HIBGLAM
