SEJUJURNYA, memang agak rimas (orang asyik bertanya soal kahwin).”
Demikian kata pelakon Riena Diana apabila ramai selalu mengajukan soalan berhubung perkahwinan antaranya dengan kekasih, Keith Foo.
Riena atau nama lengkapnya, Nur Qamarina Diana Zulreal, 29, berkata, buat masa sekarang, dia hanya mengambil pendekatan ‘go with the flow’ tentang waktu dia dan Keith akan disatukan sebagai pasangan suami isteri.
Saya faham kerja kawan-kawan (wartawan). Soalan sama (tentang kahwin), saya jawab sahajalah walaupun berulang-ulang kali jawapannya sampai sekarang tetap sama.
“Nanti dah kahwin, orang akan tanya bila pula nak dapat anak. Benda ini semua normal. Jadi, saya jawab sahajalah dengan hati yang terbuka,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Ujar Riena yang mula meledak menerusi drama komedi Kampung People berkata, segala urusan berkaitan jodoh diserahkan kepada Ilahi.
Biar dia sendiri…
Dia juga memberitahu, selain urusan perkahwinan yang masih belum bernoktah, antara perkara yang menjadi perhatian adalah bila Keith akan memeluk agama Islam.
“Sebenarnya, saya tengok progres Keith. Alhamdulillah, dia ada inisiatifnya sendiri (untuk mendalami Islam).
Cumanya, untuk saya sendiri cakap lebih-lebih tentang urusan convert (peluk Islam), saya tak mahu sebab sangat menghormati perasaan keluarga keith.
“Keluarga Keith sendiri ada yang dah convert dan ada juga yang belum. Semestinya, perlu jaga hati dan perasaan orang tua Keith yang nanti bakal bergelar mentua saya,” katanya lagi.

SELAIN Riena, drama pendek Geng Bijak Berbajet turut dibintangi Zamarul Hisham, Angeline Tan dan Lorenzo Irmann.
Jelas Riena lagi, urusan pertukaran agama itu, biarlah datang sendiri dari bibir Keith atau nama lengkapnya, Foo Chuan Chin, 42.
Kalau boleh, apa-apa sekalipun, biarlah perkara itu, Keith sendiri yang kongsikan kepada umum sebab benda ini sangat sensitif.
“Jadi, kita tunggu sahajalah pengumuman dan apa yang akan berlaku pada masa akan datang,” katanya.
Agama, isu sensitif
Dalam pada itu, Riena berkata, melihat komitmen dan dedikasi Keith mendalami agama Islam membuatkan dia ingin sama-sama mendalami agama.
Baginya, banyak perkara yang masih lompong buat dirinya sebagai seorang Muslimah.
“Sebenarnya, bila dengan Keith, saya sendiri yang takut. Saya berasakan banyak benda kena belajar sebagai seorang penganut Islam.
Bukan senang nak bimbing seorang mualaf. Kadang-kadang, bila dia tanya saya beberapa soalan (tentang agama), saya pun tiada jawapan.
“Saya dulu sekolah agama tapi ilmu yang ada sekarang kena korek balik. Kadang-kadang, terdetik dalam diri nak ambil kelas agama sebelum mendirikan rumah tangga,” ungkapnya.
Kata Riena lagi, dia sering mendapat pujian setiap kali bertudung daripada kekasihnya itu.
Apa yang mengejutkan, Keith suka saya bertudung. Setiap kali saya mengenakan tudung, dia akan cakap, ‘pakai tudung jelah’.
“Mula-mula saya ingatkan dia menipu. Sebab baru sahaja bercinta kan. Saja nak ambil hati saya tapi, sebenarnya dah setahun lebih (kami menjalin hubungan), reaksi itu masih sama,” katanya.
Terbaharu, Riena muncul dengan siri drama Hotlink: Geng Bijak Berbajet iaitu sebuah siri drama TikTok yang meriah dengan gelagat komuniti dan penuh tip pintar untuk berbelanja dengan bijak.
Dibintangi barisan pelakon tanah air seperti Zamarul Hisham, Angeline Tan dan Lorenzo Irmann, siri ini diarahkan oleh Safuan Rashid serta diterbitkan oleh Astra Entertainment.
Dengan 8 episod berdurasi 3 hingga 5 minit setiap satu, siri drama Hotlink: Geng Bijak Berbajet tampil ringan dengan elemen persahabatan yang menghidupkan suasana kopitiam dan kejiranan yang dekat di hati penonton.
Geng Bijak Berbajet mula ditayangkan secara eksklusif di TikTok @hotlink.official @dramasangat dan Instagram @hotlinkred dan @dramasangat bermula 1 Oktober 2025, pukul 12 tengah hari, setiap Rabu dan Khamis. – HIBGLAM