‘Terkejut dikata bergaduh, kami ibarat Ying dan Yang’

Dua sahabat baik, pelakon Siti Khadijah Halim dan Siti Hariesa menafikan dakwaan kononnya ada perang dingin antara mereka, saling bermasam muka serta lama tidak mempedulikan antara satu sama lain sejak berbulan lalu.

Bertembung pada acara pembukaan butik Rizman Ruzaini di Suria KLCC baru-baru ini, Hariesa atau nama lengkapnya Siti Hariesa Muhammad Hanafi, 27, mengakui itulah pertemuan semula mereka setelah sekian lama tidak bersua.

Mana ada bergaduh. Kami masih berkawan dan masih mengikuti akaun media sosial masing-masing.

“Tetapi kerana masing-masing sibuk dengan jadual kerja masing-masing jadi kami lama tak jumpa. Ini kali pertama kami dapat berjumpa dan bercakap,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bagi Siti Khadijah, 28, dia sendiri terkejut dengan dakwaan kononnya dia dan Hariessa bermasam muka.

“Terkejut juga bila orang kata kami bergaduh. Kami sudah diibaratkan seperti Ying dan Yang.

“Mungkin kerana kami sudah jarang muat naik gambar bersama, jadi netizen mula membuat andaian.

Kalau boleh saya cuba elak normalisasikan kalau tengok orang tak muat naik gambar bersama sahaja dikira bergaduh. Kami masing-masing punya kerjaya,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Siti Khadijah kini sibuk dengan penggambaran filem Khadam manakala Siri Hariesa pula sibuk dengan projek drama bersiri.

Terdahulu spekulasi mengenai keretakan hubungan dua sahabat baik ini mula diperkatakan netizen selepas mereka dilihat tidak lagi memuatnaik gambar bersama sejak beberapa bulan lalu.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok