Pelakon Sharifah Sakinah mengakui memiliki cara tersendiri untuk menjauhkan diri daripada gangguan penyakit ain dan unsur negatif yang sering menghantui kehidupan anak seni.
Ujar Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 36, kebersihan kediaman menjadi perkara utama dalam rutin hidupnya bagi mengelak gangguan makhluk halus serta mengekalkan aura positif dalam diri.
“Aku pastikan rumah tiada cicak, lipas dan tikus. Itu penjelmaan mereka.
“Sebab itu aku jaga tenaga dalam rumah. Kalau waktu maghrib, aku tutup semua lubang jamban,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Tambah pelakon Curang Tanpa Niat itu, dia juga mengamalkan mandian limau dan ais setiap kali berasa tidak sedap badan, terutama pada waktu maghrib dan sebelum subuh.
Mandi ais dan liau waktu maghrib dan sebelum subuh setiap kali rasa tak sedap badan.
“Itu sunnah, sangat bagus untuk buang aura negatif,” ujarnya.
Paling penting, dalam dunia hiburan yang penuh perhatian, Sakinah tidak menolak kemungkinan ‘penyakit ain’ datang daripada pandangan mata manusia yang sarat dengan rasa cemburu atau tidak senang.
“Jadi selebriti, hari-hari orang cemburu. Kadang-kadang mereka tak hantar pun, tapi bila tengok hantaran dalam media sosial, mereka menyumpah.
Sebab itu aku jaga media sosial betul-betul. Aku masih bersangka baik, mereka taklah sampai pergi bomoh tunjuk muka aku,” dedahnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji amalan serta pengetahuan pelakon tersebut dalam menjaga diri daripada gangguan halus dan hasad manusia.
“Betul apa dia kata, rumah kalau kotor senang benda tak elok datang,” komen seorang pengguna.
“Bagus Sakinah ni, nampak moden tapi masih pegang petua orang dulu-dulu,” tulis netizen lain.
Netizen turut memuji sisi baharu Sakinah yang lebih matang dan berpengetahuan tentang aspek spiritual serta kebersihan diri. – HIBGLAM