MESKI baru menapak dalam dunia hiburan, pesona puteri pasangan pelakon Sharifah Shahira dan Ijoy iaitu Auddra kian menyerlah dalam persada seni tanah air.
Nama si cantik itu mula meniti di bibir penonton selepas persembahan minggu pertamanya menerusi lagu Like Jennie dalam program Talk To My Manager (TTMM) meledak dan tular.
Bersandarkan wajah manis, aura bertenaga dan keyakinan luar biasa di pentas, ramai menyifatkan gadis berusia 16 tahun itu sebagai bintang remaja dengan pakej lengkap.
Kendati masih hijau, bakatnya tampak matang, malah mampu mengimbangi sisi riang dan profesionalisme persis artis lama.
Tanpa perlu menagih simpati air mata atau mencipta drama sensasi setiap kali membuat persembahan, kelincahan serta personaliti ‘bubbly’ menjadikan Auddra magnet penonton.
Setiap gerak tubuh dan lontaran senyumannya punya pesona tersendiri yang mampu membekas di hati khalayak.
Pun begitu, dunia hiburan tidak pernah sepi daripada suara sumbang.
Kelincahan dan keramahan anak saudara kepada pelakon Sharifah Sakinah di layar televisyen mengundang komen nakal segelintir netizen yang melabelnya terlalu ‘gedik’ dan berlebih-lebihan di depan kamera.
Tidak cepat melatah Auddra yang mesra disapa Oddah itu menyifatkan kritikan sebegitu lumrah buat sesiapa yang berani tampil ke hadapan.
“Sejujurnya, memang ramai juga kata saya gedik. Tapi saya tak kisah. Kalau orang nak kata saya gedik, biarlah. Orang ada mulut nak bercakap walau entah apa motifnya.
Saya tidaklah terlampau gedik sehingga buat orang tak selesa. Lagipun memang itu cara saya, asalkan tak melampau batas.
“Saya masih remaja, masih belajar banyak benda dan semua itu perlu proses sebab manusia tidak sempurna,” katanya kepada HibGlam.
Bukan itu sahaja, lebih menghiburkan, dirinya sering ‘dijodohkan’ netizen dengan anak penyanyi Ina Naim, iaitu Hadie yang juga peserta TTMM.
“Semua orang yang suka shipping saya dengan Hadie atau Ammar (anak Ameng Spring) tu sebenarnya kelakar bagi saya.
Kami ni masih muda lagi, belum fikir pun soal cinta. Saya berkawan dengan semua orang, tak ada cinta-cinta pun,” luahnya.
Ditanya sama ada dia selesa apabila netizen sering mengusik dirinya dengan peserta lelaki lain, pelajar sekolah menengah itu mengakui sudah terbiasa dicuit peminat.
“Saya sebenarnya tak kisah. Kalau orang suka tengok saya dengan Hadie, saya okey. Orang suka tengok saya dengan Ammar pun okey.
“Mula-mula dulu terkejut juga, macam ‘Eh kenapa dengan Hadie ni?’ Tapi lama-lama dah biasa. Kami pun faham benda ini hiburan, jadi kami ikut sahaja,” jelasnya.
Menurut cucu kepada seniwati Maria Arshad itu lagi, dia kerap membaca komen netizen dan menjadikannya sebagai ruang menilai pandangan orang ramai terhadap dirinya.
Saya memang selalu baca komen. Kalau ada yang negatif, saya tak ambil hati. Kadang-kadang saya tengok juga apa netizen nak tengok daripada saya, Hadie atau Ammar.
“Mama pun selalu pesan benda sama. Dia kata, ‘biar Mama tegur dulu sebelum orang lain tegur’. Jadi Mama pun macam netizen juga, tapi versi yang sayang,” tutupnya.
Untuk rekod, Auddra bakal berentap di pentas Grand Finale TTMM pada 12 Oktober ini bersama lima lagi peserta iaitu Marsya (Liza Hanim), Ammar (Ameng Spring), Amad (Siti Saerah), Thalita (Shuib) dan Hadie (Ina Naim).
Talk To My Manager bukan sekadar pertandingan hiburan tetapi medan ujian emosi, kepercayaan dan keserasian antara pengurus serta anak didik mereka. – HIBGLAM