DUA tahun selepas persembahan BCL Blossom Intimate, penyanyi Indonesia Bunga Citra Lestari kembali menghiburkan peminat Malaysia menerusi konsert Eternal Love, Timeless Romance di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 27 September lalu.
Konsert tersebut boleh digambarkan sarat gelak tawa dan hiburan, namun terselit pelbagai momen beremosi yang dikongsi Bunga atau lebih mesra disapa BCL bersama peminat.
Seperti semua tahu, BCL melalui episod gelap apabila kehilangan teman hidup juga pelakon Ashraf Sinclair akibat serangan jantung pada 2020.
Keperitan tersebut dizahirkan dalam persembahan mega ketika melantunkan lagu 12 Tahun Terindah dan Wanita Terbahagia sambil memaparkan klip rakaman kenangan bersama Allahyarham Asyraf.
Persembahan syahdu dengan iringan biola daripada Dennis Lau membuatkan sebahagian penonton menitiskan air mata.
“Lagu terberat untuk dinyanyikan tetapi saya berjaya. Kalau bukan konsert saya memang tak akan nyanyi.
“Kalau dengar pun saya akan ingat kesusahan dan kesakitan yang kekal selama-lamanya. Saya menjalani proses berduka sendirian,” katanya usai menyampaikan 12 Tahun Terindah.
Pelakon filem Habibie dan Ainun itu bagaimanapun membuka lembaran baharu selepas mendirikan rumah tangga dengan Tiko Aryawardhana pada 2 Disember 2023 di Bali, Indonesia.
Lebih mengharukan, keluarga arwah Ashraf turut menerima kehadiran Tiko dengan hati terbuka, sekali gus menjadikan belahan jiwanya itu sebahagian ahli keluarga.
“Salah satu momen paling indah, saya berjaya menyatukan tiga keluarga. Hadirnya Tiko dengan besar hati keluarga Sinclair dan begitu juga Sinclair dalam hidup Tiko.
“Ini sudah menjadikan kami tiga keluarga menjadi satu keluarga yang sangat besar.
“Bunga kini menjadi anak umi (ibu arwah Ashraf) dan Tiko adalah menantunya,” ujarnya yang menggandakan lagi kesyahduan ramai.
Malam tersebut cukup bermakna buat BCL kerana dihadiri Tiko, keluarga Sinclair serta anak lelaki tunggalnya Noah.
Menerusi konsert yang berlangsung selama dua jam, wanita berusia 41 tahun itu menyampaikan lebih 20 buah lagu hitsnya sejak bergelar penyanyi bermula sekitar 2006.
Antaranya termasuklah, Cinta Sejati, Overture Baru, Ingkar, Jangan Gila, Selalu Ada Di Nadimu, Memulai Kembali, Sinaran, Karena Kucinta Kau, Badai Telah Berlalu dan Dance Tonight.
Kali ini, BCL membawakan kejutan istimewa buat peminat dengan mengundang birasnya iaitu penyanyi Yuna bagi sama-sama menyampaikan dendangan duet terbaharu mereka berjudul Watak Utama.

MENGHADIRKAN energi orang muda, Bunga mengundang pemenang tempat kedua Indonesia Idol, Fajar Nur pada konsert BCL Blossom Intimate.
Bunga bahkan turut mengundang penyanyi baharu Indonesia, Fajar Noor yang memenangi tempat kedua program realiti Indonesia Idol musim ke-13 untuk memeriahkan Eternal Love, Timeless Romance.
Penyanyi berusia 21 tahun itu sempat menyampaikan beberapa seleksi seperti Tetaplah Di Hatiku, Putri Iklan, Takhta Hatiku #Pendampingmu dan karya terbaharunya berjudul Tuhan Tahu Kita Saling Cinta.
Tidak cukup di situ, Bunga turut membawakan Jaclyn Victor menemaninya menyanyikan lagu Love Story menjadikan bingkisan tersebut sungguh indah.
Selain Love Story, Jaclyn juga mendendangkan lagu Ikut Rentak Ku, Racun, Sesal Tak Bermakna, Cinta Tiada Akhirnya, Glorious dan Gemilang.
Kelainan yang dibuat kali ini, BCL menyelitkan segmen interaktif semacam rancangan temu bual apabila menjemput dua penonton bertuah ke pentas untuk berkongsi kisah patah hati mereka.
Dari cerita tersebut, BCL menghadiahkan bait-bait lagu disesuaikan pengalaman mereka, menjadikan persembahan lebih dekat di hati peminat.

MEMVARIASIKAN suasana, penyanyi Jaclyn Victor turut diajak berduet dengan lagu Love Story.