PELAKON dan aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Ardell Aryana dimasukkan ke sebuah hospital di Istanbul, Turkiye bagi menerima rawatan susulan selepas mengalami tekanan darah rendah dan kecederaan ketika berada dalam tahanan rejim Zionis.
Berita itu disahkan suaminya yang juga pelakon Nadzmi Adhwa selain memaklumkan perkara tersebut berlaku disebabkan layanan kejam tentera Israel.
“Dia alami tekanan darah rendah. Mereka semua dah kena tahan, mungkin sudah terlalu penat, ‘disidai’ beberapa jam dan kena macam-macam.
“Memang tak dapat makan, minum dan diperlakukan seperti binatang selain hijab direntap. Memang sakit hati namun saya belum dapat cerita penuh buat masa ini.
“Cuma dapat berita (Ardell di hospital) dari laporan berita televisyen hari ini,” katanya kepada HibGlam hari ini.
Dalam masa sama, dia berharap orang ramai terus mendoakan kesihatan isterinya agar kembali sihat.
“Buat masa sekarang, insya-Allah dia akan stabil dan minta doa daripada semua,” ujarnya.
Sementara itu, menerusi laporan Buletin Utama hari ini, Peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin mengesahkan Ardell dan seorang lagi aktivis iaitu Haikal Abdullah dizalimi tentera Zionis.
Menurutnya, Ardell telah ditumbuk pada bahagian muka dan rambut juga ditarik.
“Dia juga dalam keadaan tidak sihat dan ada tekanan darah rendah sebelum dibawa ke hospital hari ini.
“Haikal pula telah dipijak rejim Zionis di bahagian tangan dan jarinya mengalami sedikit masalah serta perlukan rawatan lanjut,” katanya.
Semalam, kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF selamat tiba di Turki selepas ditahan oleh rejim zionis ketika berlayar di zon merah sebelum memasuki perairan Gaza.
Selain Ardell, selebriti wanita lain yang turut menyertai misi tersebut ialah Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Zizi Kirana. – HIBGLAM