KILAUAN Emas 2024 melabuhkan tirainya dengan menobatkan Mazleen sebagai juara, malam tadi.
Peserta berusia 45 tahun dari Kluang, Johor itu berjaya mengalahkan finalis lain menerusi persembahan mantap yang memukau penonton dan barisan juri profesional.
Pada pusingan duet, penyanyi Pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor itu bergandingan dengan peserta Kilauan Emas musim keempat, Arip menerusi lagu Naluri Cinta nyanyian asal Rohana Jalil dan To’ki.
Dalam saingan akhir, Mazleen mempersembahkan lagu Bertamu di Kalbu nyanyian asal Jaclyn Victor dengan penuh lenggok dan keyakinan, sekali gus menundukkan lima pesaing lain.
Sebagai juara, Mazleen membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM30,000, trofi Kilauan Emas, pakej umrah premium sumbangan Khadim Ummah Holidays serta pakej percutian empat hari tiga malam ke Dubai, UAE sumbangan Amartrips.com.
Naib juara, Zekrai pula menerima wang tunai RM10,000, trofi sumbangan Astro serta pakej percutian tiga hari dua malam ke Bali, Indonesia sumbangan Amartrips.com.
Nawary di tempat ketiga pula membawa pulang wang tunai RM 5,000, trofi sumbangan Astro, pakej eksklusif umrah dan pakej percutian tiga hari dua malam ke Danang, Vietnam sumbangan Amartrips.com.
Peserta di tempat keempat hingga keenam, iaitu Zanie, Ezan dan Majid juga tidak pulang dengan tangan kosong.
Masing-masing menerima wang tunai RM3,000 dan trofi sumbangan Astro.
Majid juga diumumkan sebagai penerima Anugerah Emas Berkilau of The Week.
Pada masa sama, pemenang cabaran bagi Omega 30 Hari Nestle Omega Gold, Ezan berjaya menurunkan tahap kolestrol paling banyak.
Persembahan keenam-enam peserta diadili juri profesional terdiri daripada Erra Fazira, Roy Azman, Ning Baizura dan juri jemputan, Datuk Yusuf Haslam.
Kilauan Emas edisi 2025 dihoskan Elly Mazlein manakala Joey Daud bertindak sebagai pengacara belakang pentas dan diari Kilauan Emas. – HIBGLAM