PAKAIAN sukan muslimah rekaan isteri dipertikai, pelakon Shukri Yahaya lebih selesa tidak ambil pusing kutukan yang disifatkan hanya membabitkan kelompok minoriti.
Katanya, berdasarkan pemerhatian hanya 10 peratus sahaja yang mengecam kononnya persalinan patuh syariah itu kurang sesuai untuk dipakai ketika bersukan.
“Saya tahu, perkara sama diperdebatkan beberapa bulan lalu ketika isteri saya berkongsi pakaian sukan yang dijualnya.
Sejujurnya, saya tak baca pun kecaman netizen kerana saya tengok ramai lagi orang sokong berbanding mempersoalkan mahupun mengecam.
“Isteri saya pun tak mengadu dikecam atau sebagainya. Dia tak layan kerana yakin yang ‘berbunyi’ dan skeptikal cuma kelompok kecil, 10 peratus sahaja,” katanya ketika ditemui pada tayangan akhir drama bersiri Rumah Tanpa Luka, baru-baru ini.
Mengenai usaha Tya Adnan tampil dengan idea membantu muslimah lain menerusi pakaian sukan, dia pada awalnya juga terkejut malah berbangga dengan usaha teman hidupnya itu.
“Apabila isteri keluarkan satu produk yang sesuai untuk muslimah, saya pun terkejut apatah lagi mendapat sambutan ramai.
Sebagai suami sudah tentu saya bagi galakan selain suntik semangat agar dia jangan sesekali goyah berdepan kritikan, sebaliknya terus buat penambahbaikan,” ujarnya.
Sebelum ini pakaian sukan muslimah dijual ibu kepada dua cahaya mata itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen apabila ada yang risau rekaan labuh boleh mengakibatkan pemakainya terjatuh. – HIBGLAM