Sudah tertulis di lohmahfuz tanggal 14 September lalu, pasangan selebriti popular Fattah Amin dan Amira Othman disatukan sebagai suami isteri.
Fattah yang merupakan duda anak satu menikahi Amira dalam majlis sederhana nan indah sambil disaksikan secara langsung seluruh rakyat Malaysia yang menyambut baik perkahwinan mereka.
Namun, yang tidak enaknya ibarat rumah sudah siap pahat mula berbunyi. Setiap perincian daripada pemilihan pembawa dulang, cara pengacara mengemudi majlis sehinggalah kemunculan Fatima anak Fattah bersama bekas isteri Nur Fazura di atas pentas sewaktu acara menyarung cincin menjadi bahan perdebatan netizen.
Tidak terhenti di situ, netizen siap mengorek hantaran lama ucapan tahniah Amira di Twitter semasa perkahwinan Fattah dan Fazura.
Pelbagai tafsiran dan ‘analisis’ mula bertebaran dalam media sosial yang jika dibaca boleh mencetuskan amarah dan asbab pergaduhan walhal antara Fattah dan Fazura sudah bahagia dengan kehidupan masing-masing.
Ini kerana, jika menulis dan meluah tanpa berfikir panjang kesannya adalah kepada artis kesayangan netizen juga. Malah, Fatima yang kecil itu juga tidak secara langsung menjadi mangsa.
Normal dan logik, anak sekecil itu mahu sentiasa berada di sisi bapanya dalam sebuah majlis yang dihadiri begitu ramai orang. Bukanlah kerana dia diajar untuk ‘merosakkan’ hari bahagia bapa dan isteri baharunya.
Pelakon Anzalna turut bersuara kerana ramai yang tidak setuju dia menjadi pembawa dulang Amira sedangkan ramai tahu dia akrab dengan Fazura.
Menurut Anzalna, dia dan Amira telah lama bersahabat baik, tetapi memilih untuk tidak mempamerkan keakraban mereka di media sosial.
Kami memang selalu keluar minum kopi bersama, cuma tidak berkongsi di media sosial. Tidak semua perkara perlu dipamerkan. Kami menjadi akrab selepas sama-sama dilantik menjadi duta jenama (pakaian).
“Bila Amira minta saya jadi ‘bridesmaid’, sebenarnya malu hendak terima. Semua gadis cantik-cantik dan muda belaka. Saya ini sudah kertu (tua), macam tidak sesuai pun ada,” katanya yang akhirnya menerima tugas itu atas sebab bersahabat baik.
Pada majlis pernikahan Fattah dan Amira, selain Anzalna rakan artis lain yang turut menggalas tugas sebagai pembawa dulang ialah Bell Ngasri, Alvin Chong, Qasrina Karim, Hawa Rizwana dan Nabila Razali.
Tidak dapat dinafikan populariti Fattah dan Amira memuncak, bahkan pasangan pengantin sendiri turut mengambil kesempatan di atas ‘hype’ perkahwinan mereka untuk berjualan secara langsung sehari selepas majlis pernikahan berlangsung.
Difahamkan produk kecantikan dipromosikan mereka laku keras apabila berjaya mengutip hampir RM1 juta dengan lebih 35,000 tempahan.
Selepas ini Fattah, Amira dan peminat mereka mungkin sudah boleh berehat kerana seluruh Malaysia kini memberi fokus kepada pasangan BASS pula iaitu Bella Astillah dan Syed Saddiq yang setiap hari memberi ‘vitamin’ cinta dari Perancis.