SHARIFAH Husna, sepotong nama yang masih agak terasing meskipun meledak baru-baru ini menerusi watak Tengku Natasha dalam drama slot Akasia, Setia Itu Mahal.
Ledakan sebegitu sekali gus membuatkan ramai mula menyedari bakatnya meskipun sudah hampir lapan tahun memahat nama dalam dunia lakonan.
Senang hati melabel diri sendiri sebagai pelakon ‘lambat panas’, pelakon berusia 32 tahun itu sentiasa percaya dengan rezeki Tuhan dan menolak mencipta sebarang cerita panas semata-mata untuk dikenali ramai.
Kata pemilik nama penuh Sharifah Husna Syed Feizal itu, prinsip tersebut menjadi pegangannya sejak hari pertama menapak dalam dunia seni.
Takut kontroversi
Bukan sekadar untuk menjaga maruah diri, dia juga bimbang sekiranya kontroversi yang tercipta memberi tempias negatif terhadap keluarga.
“Sebenarnya saya takut jika terpalit dengan sebarang cerita sensasi atau gosip negatif, ibu bapa saya pasti akan marah.
“Bagi saya, tak mengapalah jika tidak terkenal sekali pun asalkan jangan ada kontroversi,” katanya yang mesra disapa Husna kepada HibGlam.

Percaya dengan rezeki, Sharifah Husna tidak resah apabila perlu ambil masa lama untuk dikenali.
Dia juga tidak menafikan ibu bapanya merupakan individu yang tegas dan kontroversi pastinya akan mencetuskan amarah.
“Tak mahulah ada cerita panas sebab mak ayah pasti akan hambat saya. Mereka sangat garang.
Saya dibesarkan dalam keluarga yang sangat menjaga disiplin dan tak mahu sebarang perkara negatif akan beri tempias kepada mereka.
“Sebab itu saya okey begini dan kekal dengan imej bersih cuma perlu bersabar,” ujarnya.
Ketika nama ramai rakan seperjuangan melonjak naik, meraih pelbagai trofi, Husna kekal tenang dalam jalannya sendiri selain tidak pernah iri hati dengan kejayaan pelakon lain.
“Sebenarnya saya tiada pemikiran untuk ke depan atau mengejar populariti sebaliknya hanya mahu fokus kepada diri sendiri sahaja.
“Malah, tiada masa untuk rasa cemburu lihat rezeki pelakon wanita lain. Tak suka ada rasa negatif tentang orang lain.
“Macam saya cakap, percaya pada rezeki, tiada istilah iri hati dan tiada masa untuk rasa begitu sebab boleh hancurkan diri sendiri secara perlahan-lahan,” tuturnya.
Antagonis
Bercerita tentang karakter Tengku Natasya dalam drama bersiri Setia Itu Mahal, Husna mengakui terkejut disebabkan lebih banyak menerima sokongan dan pujian berbanding kecaman yang sebelum ini sering diraihnya setiap kali memegang karakter antagonis.
“Selalunya saya memang akan kena kecam sebab watak jahat dan sudah terbiasa tetapi kali ini berbeza, dapat sokongan pula.
Paling lucu bila jumpa peminat di luar, mereka takut nak tegur sebab watak Tengku Natasha garang. Ada yang cakap saya macam isteri ahli kumpulan mafia.
“Namun bila saya tegur semula, mereka terkejut dan gembira sebab tak sangka saya peramah,” ujarnya.
Dia bahkan mengakui kerja keras menghidupkan watak tersebut terbayar apabila ramai sudah mula menyedari bakat dan kewujudannya.
“Dalam satu majlis dengan peminat drama itu baru-baru ini, ramai peluk dan puji lakonan saya. Rasa seronok sebab hasil kerja dihargai.

SHARIFAH HUSNA bersyukur ramai mula nampak bakatnya apabila melakonkan watak Tengku Nastasha dalam drama Setia Itu Mahal.
“Ini pengalaman baharu untuk saya, pegang watak jahat tetapi orang suka,” kata pelakon berdarah kacukan Melayu, Arab, British, Portugis, Belanda dan Indonesia itu.
Berkongsi rasa tentang populariti yang diraih menerusi drama tersebut, Husna enggan dirinya hanyut sebaliknya mahu sentiasa memberikan terbaik untuk setiap naskhah.
“Saya tidak kisah kalau asyik dapat watak sama. Adakala karakter yang biasa-biasa itu lebih meletup, rezeki memang sukar dijangka.
“Kerana drama ini juga saya dapat ramai peminat baru. Ada juga yang sangka saya pelakon baru tetapi tak mengapa walaupun baru kenal siapa Sharifah Husna.
“Semua itu tidak ganggu mental saya pun asalkan drama meletup,” katanya yang juga bekas juara pertandingan Gadis Panca 2018.
Pelakon diva, senior
Asyik berbual, Husna sempat berkongsi pengalaman bekerja dengan beberapa pelakon senior bersikap biadab di set penggambaran termasuk menjeling dan meninggikan suara tanpa sebab.
“Bila kita dapat berlakon dengan artis yang baik atau diva sekalipun, semua itu buat kita semakin kuat sebagai anak seni.
“Saya pernah berlakon dengan artis yang berlagak diva, semua itu ajar saya untuk jadi penyabar.
“Ada yang tiba-tiba macam nak cari gaduh tanpa sebab tetapi dibiarkan sahaja dan buat hal sendiri.

SHARIFAH Husna mengelak terpalit kontroversi demi menjaga nama baik diri dan keluarga. – ISKANDAR ISHAK
Walau mereka jerit kuat manapun, saya kekal tenang sehingga artis itu tidak tahu macam mana nak buat saya marah,” ujarnya.
Katanya, situasi sebegitu mengajar jiwanya untuk menjadi lebih kental dan tidak mudah rapuh.
“Saya tak balas sebaliknya tahap kesabaran jadi makin tinggi.
“Jangan layan dan biar mereka penat sendiri. Lama-kelamaan mereka akan berhenti,” jelasnya tanpa mendedahkan identiti pelakon itu.