‘Saya suka panggil dia isteri syurga’

PENUH romantis, pelakon popular, Fattah Amin, 35, mendedahkan panggilan istimewanya buat isteri tercinta, Amira Othman, 32, adalah isteri syurga.

Itu dikongsikan Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin ketika disoal pengacara Awal Ashaari dan Sissy Imann mengenai panggilan istimewa kepada Amira selepas majlis akad nikah mereka di sini, malam tadi.

“Saya segan tapi saya dah ‘practice’ dan suka untuk panggil dia isteri syurga.

“Insya-Allah, kata-kata itu semua doa,” katanya.

Pada majlis pernikahan itu, Fattah memaklumkan dia berasa sangat bersyukur selepas kini sah bergelar suami kepada Amira.

“Alhamdulliah, termakbul (nikah) hari ini. Cuma, tadi perasaan saya memang gementar,” katanya.

Sementara itu, Amira pula berkata, dia sama sekali tidak terlintas akhirnya bergelar isteri orang.

“Memang tak terfikir dan tak terlintas langsung (kini bergelar isteri). Tapi Allah yang Maha Mengetahui.

“Allah dah susun semua ini. Jadi, saya bersyukur dan alhamdulillah semuanya sudah tertulis cantik,” ujarnya.

Fattah dan Amira sah bergelar isteri dengan sekali lafaz pukul 9.08 malam selepas mereka dinikahkan oleh Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pada majlis pernikahan itu, Amira juga menerima seutas gelang emas sebagai mas kahwin daripada Fattah.

Selain itu, pengantin lelaki menyerahkan lima dulang hantaran, manakala dibalas tujuh dulang hantaran daripada pengantin perempuan.

Majlis Ijab Kabul Setulus Takdir: Fattah Amira disiarkan secara langsung secara percuma di aplikasi Unifi TV 2.0 menerusi saluran Inspirasi pukul 8 malam tadi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok