KEBANYAKAN anak selebriti mendapat pendedahan awal tentang dunia seni sama ada melalui warisan keluarga, peluang jaringan atau inspirasi daripada orang tua.
Di Malaysia misalnya, rancak berlangsung program realiti Talk To My Manager yang menghimpunkan anak-anak selebriti sebagai peserta utama.
Program tersebut menjadi ruang buat mereka meneroka dan mengenali selok-belok dunia hiburan sebelum benar-benar melangkah sebagai penyanyi.
Meskipun sering dikaitkan dengan status ‘anak orang terkenal’ atau nepotisme, mereka berjaya membuktikan bakat dan identiti tersendiri di pentas seni.
Kali ini, HibGlam menyenaraikan beberapa selebriti terkenal Korea yang mewarisi bakat daripada orang tua mereka.
Anton, Yoon Sang
DEBUT menerusi kumpulan idol lelaki baharu, RIIZE di bawah naungan SM Entertainment, penyanyi Anton menarik perhatian ramai.
Kehebatakan vokal serta imej menarik menjadikan Anton calon bintang masa depan yang dijangka memiliki ramai pengikut.
Anton atau nama sebenarnya Lee Chan-young merupakan anak kepada penyanyi, penulis lagu dan komposer terkenal Korea, Yoon sang.
Yoon Sang pernah mengasah bakat ramai artis muda di Korea Selatan.
Tidak hanya itu, ibu Anton iaitu Shim Hye-jin merupakan pelakon popular 1990-an.
Tidak hairanlah Chan-young berbakat besar apabila mewarisi darah seni kedua-dua ibu bapanya.
Park Nam-jung, Park Sieun
MEMULAKAN kerjaya sebagai pelakon kanak-kanak sejak kecil, ahli kumpulan STAYC iaitu Park Si-eun muncul dalam beberapa drama popular termasuk Six Flying Dragons (2015) dan Mystic Pop-up Bar (2020).
Pada 2020, Sieun debut sebagai ahli STAYC yang kini antara kumpulan generasi keempat paling popular.
Suara lantangnya melayakkan dirinya dilantik sebagai tunjang utama kumpulan tersebut.
Siapa sangka, penyanyi berusia 24 tahun itu merupakan anak kepada penyanyi pop terkenal era 80-an dan 90-an, Park Nam-jung.
Cho Hye-jung, Cho Jae-hyun
PELAKON veteran Cho Jae-hyun pernah menjadi antara figura dihormati dalam industri, namun kerjayanya terjejas akibat kontroversi peribadi.
Pada 2015, Jae-hyun muncul dalam sebuah rancangan realiti berjudul Take Care Of My Dad bersama anaknya, Cho Hye-jung sekali gus memperkenalkan figura tersebut kepada khalayak.
Sejak itu, wanita berusia 32 tahun itu mula menjadi perhatian dan menerima beberapa tawaran lakonan dalam drama televisyen.
Antara drama yang melonjakkan namanya adalah Imaginary Cat (2015) dan Weightlifting Fairy Kim Bok-joo (2016).
Meskipun agak terkesan dengan imej bapanya, Hye-jung tetap berusaha mengekalkan kerjaya lakonannya dengan lebih positif dan kian diterima.
Belle, Shim Shin
SHIM Hye-won atau lebih dikenali sebagai Belle debut pada 2023 sebagai ahli kumpulan KISS OF LIFE.
Dia merupakan vokalis utama dan aktif menulis lagu.
Sebelum debut, Belle menulis lagu untuk artis lain termasuk kumpulan terkenal seperti LE SSERAFIM dan Purple Kiss.
Ini menunjukkan bakatnya bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga komposer.
Belle mewarisi bakat bapanya, Shim Sin yang mencipta nama sebagai penyanyi rock popular era 90-an dan komposer prolifik.
Pada usia 21 tahun, Belle membuktikan dirinya bukan sekadar anak selebriti tetapi artis muda berbakat besar yang mampu berdiri dengan karya sendiri. – HIBGLAM