DIANGGAP antara pasangan selebriti berpengaruh, pelakon Mimi Lana tidak pernah menyuarakan atau meletakkan syarat agar syarikat produksi mahupun jenama produk mengambil ‘pakej’ bersama suaminya, Syafiq Kyle.
Kata Mimi atau nama lengkapnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 29, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, malah sejak sebelum berkahwin pun mereka digabungkan dalam sesuatu projek atas kesesuaian produk diwakili.
“Tak semestinya dah kahwin pihak yang nak dapatkan khidmat kami perlu ambil kami berdua sebagai pakej. Saya tak pernah gariskan syarat apa pun, Syafiq juga serupa.
Masing-masing punya kekuatan tersendiri malah setiap seorang antara kami mungkin sesuai untuk produk atau jenama secara solo. Tiada masalah pun muncul seorang.
“Syarikat yang mengajukan tawaran lebih tahu. Sebelum ini juga banyak jenama kami wakili sendirian. Kalau berdua, itu bonus. Bukan kerana kami letak syarat,” katanya ketika ditemui selepas mempromosikan produk Nivea Luminous Skin Glow Serum, baru-baru ini.
Menurut pelakon filem Pusaka itu, seperti menjayakan kempen produk penjagaan diri itu, mereka bersyukur apabila rezeki datang serentak memandangkan produk berkenaan untuk kegunaan kedua-dua gender.
Apabila digandingkan berdua macam hari ini, kami penuhi tanggungjawab dengan sepenuh hati seperti juga tugasan lain.
“Bagi saya, peluang sebegini juga antara cara kami peruntukkan masa berkualiti bersama selain dapat bertemu peminat,” ujarnya pada acara di pusat beli belah Sunway Pyramid.
Ditanya sama ada wujud perancangan untuk menubuhkan syarikat produksi bersama suami, akui Mimi buat masa ini dirinya menjadi penyokong utama Syafiq untuk terus aktif dalam dunia penerbitan penerbitan.
Bahkan katanya, Syafiq yang sudah hampir 15 tahun terbabit dalam dunia seni bakal duduk di kerusi pengarah menghasilkan sebuah supertele yang dijadualkan awal tahun depan.
“Buat masa ini belum ada perancangan untuk saya terbabit dengan kerja belakang tabir atau bersama-sama suami usahakan rumah produksi.
Syafiq sendiri bersama rakan kongsinya sudah lama menjadi penerbit menerusi Indigo Films yang sebelum ini hasilkan drama berjudul Doh.
“Sebagai isteri serta individu yang melihat kesungguhannya dengan kerja belakang tabir, saya teruja apabila suami akan melangkah sebagai pengarah drama tahun depan,” ujarnya.
Terdahulu, pasangan terbabit masih menikmati fasa bulan madu selepas melangsungkan majlis pernikahan pada 14 Februari lalu di Taiping, Perak. – HIBGLAM