‘Jangan ungkit kisah lama, sumpah saya sedih, penat’

KALAU saya boleh berdamai dengan masa lalu saya, kenapa ada antara kamu yang tidak boleh?”

Demikian luahan hati pelakon Sherry Ibrahim yang kesal dengan sesetengah pihak yang terus mengungkit kisah silamnya.

Menurut Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 42, kisah silam boleh menambah kebencian serta menyakitkan hati pihak yang terlibat.

Malah, dia juga memaklumkan statusnya yang masih belum mendirikan rumah tangga tidak seharusnya dijadikan ukuran kebahagiaan hidup.

“Tolong jangan ungkit cerita lama yang anda sendiri tidak tahu hujung pangkalnya kerana hanya menyakitkan hati dan menambah kebencian yang tidak perlu.

Semua orang ada masa lalu tetapi bukan alasan untuk dijadikan senjata. Jangan sakiti saya hanya untuk memuaskan rasa negatif. Kenapa perlu nak ungkit dan sebarkan kisah lama?

“Kalau saya sendiri sudah reda dan berdamai dengan takdir tidak perlu ada yang menambah dosa dengan memburukkan lagi keadaan. Tidak semestinya saya belum berkahwin sampai hari ini bermakna saya tidak bahagia,” katanya dalam hantaran Instagram.

Selain itu, pelakon drama Setia Hujung Nyawa itu berharap pihak yang sering melontarkan kebencian atau kecaman dapat membuka hati untuk menunjukkan rasa empati terhadap dirinya.

Saya harap ada antara ‘haters’ yang dapat membuka hati untuk menunjukkan empati dan bukannya kebencian. Hanya Allah SWT yang menentukan apa yang terbaik untuk saya.

“Dari pihak saya, saya reda dan berserah. Saya juga sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua dan percaya sepenuhnya pada takdir serta proses dari Allah SWT. Sumpah saya sedih dan penat,” jelasnya.

Sherry yang dipercayai dalam keadaan beremosi meluahkan penghargaan kepada peminat yang tidak putus asa memberikan sokongan buat dirinya sepanjang dalam industri.

“Kepada semua yang terus menyokong saya dengan kasih sayang dan kebaikan, terima kasih.

Saya sangat sayang dan hargai anda semua. Maaf kerana terlalu beremosi,” luahnya.

Bagaimanapun, bekas pramugari itu tidak mendedahkan punca sebenar hantaran tersebut dibuat.

Sebelum ini, Sherry meluahkan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang masih meninggalkan komen negatif dalam media sosial miliknya.

Dia juga pernah menyelar tindakan seorang individu yang menuduhnya masih belum ‘move on’ daripada kehidupan lalu dan kisah percintaanya dengan Fattah sebelum ini.

Tuduhan tersebut disifatkan sebagai fitnah, malah seakan-akan sengaja dicipta demi menyemai kebencian terhadapnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok