MAGIS tentang Angkat arahan Feisal Azizuddin, penulis secara peribadi dan jujurnya tidak sempat mengantuk ketika menghabiskan tontonan baru-baru ini.
Dibintangi pelakon hebat seperti Syazani Zikry, Sky Iskandar, Firdaus Karim dan Sara Mack Lubis, naskhah terbitan Feisk Productions itu memiliki asas kukuh, namun dibatasi beberapa kelompongan barangkali disebabkan beberapa faktor termasuk bajet.
Angkat mengisahkan tiga beradik yang terpaksa menguruskan jenazah bapa mereka demi memenuhi permintaan terakhir si ibu.
Secara peribadi, penulis terpaku dengan sinergi dihasilkan empat teraju utamanya – tiga beradik Ibrahim, Yusof dan Karim yang kemudian disertai Mia (pemandu van jenazah).

MESKI bajet kecil , Angkat memberikan pengalaman sinematik menyeronokkan dan alur cerita yang menarik.
Ini filem yang diterjemahkan dengan bajet dan ‘teknologi’ bertaraf indie, namun itu bukan penghalang naskhah ini memacu minat audiens di pawagam. Ada beberapa perihal lemah antaranya terjemahan karakter isteri kepada si mati dan satu-satunya anak perempuan mereka.
Jujurnya, penulis berasakan kalau tiada dua karakter terbabit atau mungkin karakter itu diperkemaskan, naskhah anak indie ini akan lebih berkembang maju. Kendatipun, entah mengapa penulis berpendapat, Angkat satu pengalaman sinematik menyeronokkan.
Ada kritikan sosial atau sindiran tajam yang tidak klise dipaparkan dalam filem ini dan perihal itu bukan berangka minima, sebaliknya bertubi-tubi dibenamkan dalam jiwa audiens.
Ada ‘skru’ longgar di sana-sini, namun Angkat tetap memberikan alur cerita yang menarik untuk ditonton. Idea dan plot yang diketengahkan dilihat unik dan tidak klise.

SINERGI lakonan empat pelakon utama filem Angkat wajar diberikan pujian.
Paling menyentuh adalah bagaimana hubungan tiga beradik yang renggang akhirnya menjadi lebih dekat, hanya kerana susuk lelaki bernama bapa yang mereka jauhi selama ini.
Sebagai sebuah naskhah komedi gelap, Angkat berani menyentuh isu kesilapan ibu bapa dalam membentuk masa depan anak-anak yang meruncing zaman sekarang.
Andai diberi bajet lebih dan sedikit kemasan, tidak mustahil filem ini boleh pergi lebih jauh berbanding apa telah dipaparkan di layar lebar. – HIBGLAM