ENAM tahun berjuang dalam bidang perniagaan termasuk pernah melalui zaman ‘kegelapan’ apabila didakwa gagal melunaskan caruman pekerjanya, Shuib tidak mengenal erti putus asa.
Pada hemat pemilik nama Shahmira Muhammad itu, apa yang berlaku adalah adat orang berniaga.
Ketika bisnes minumannya, BubbleBee dikatakan semakin kurang meraih sambutan sehingga beberapa cawangan ditutup, Shuib kini muncul pula restoran Sepah Penyet hasil kerjasama dengan rakan baiknya, Mamat.
Menjual sajian makanan pelbagai menu berasaskan sambal penyet, Shuib menyifatkan Sepah Penyet sebagai ‘comeback’ dirinya dalam sektor makanan dan minuman (F&B).
“Saya kira ini tahun kebangkitan juga selepas tiga tahun bisnes saya yang lain ‘jatuh’.
Bukan jatuh ke tanah sahaja, tetapi ibarat sudah masuk ke dalam lubang sebenarnya.
“Tapi saya tak akan sesekali berhenti sebab suka cabaran dunia perniagaan dan sebab itu terhasilnya Sepah Penyet,” katanya kepada HibGlam usai pelancaran cawangan kedua restorannya di Putrajaya, baru-baru ini.

ATAS kepercayaan dan ikatan persahabatan, Shuib dan Mamat kini bergabung untuk sama-sama memajukan perniagaan yang diusahakan.
Ujar Shuib, pemilihan Mamat sebagai rakan kongsi untuk Sepah Penyet adalah disebabkan percaya dengan kemampuan dalam menguruskan perniagaan bersama.
Jelasnya, Mamat banyak membantu bahkan juga peminat tegar untuk menu berasaskan sambal penyet.
“Sebelum ini buat bisnes sendiri ataupun bersama keluarga tetapi kali ini saya bersama dengan seorang kawan yang saya kenal lama.
Ketika mula masuk industri, dialah kawan saya dan hari ni saya duduk dengan dia dalam satu perniagaan yang kami percaya mempunyai potensi positif
“Jadi, memang perlu fokus dan kuat dalam menempuh dugaan dunia perniagaan,” ujarnya yang sudah mendaftar cap dagangan untuk jenama Sepah Penyet bagi mengelakkan sebarang isu di kemudian hari.
Dalam masa sama, dia menyasarkan untuk membuka 15 cawangan restoran Sepah Penyet yang juga menggabungkan jenama minuman BubbleBee.
Peluang pekerjaan
Sedar sering menjadi mangsa kecaman ramai susulan beberapa kes terdahulu, Shuib juga berharap perniagaan yang dijalankan kali ini bukan sahaja memberinya rezeki tetapi membuka ruang pekerjaan kepada orang lain.
“Saya melalui macam-macam perkara magis yang semua Allah sudah tetapkan dan tuliskan dalam hidup.
Insya-Allah saya harap bisnes baru ini boleh buka peluang pekerjaan kepada ramai orang,” kongsinya.
Tuturnya, dia banyak mempelajari pelbagai perkara daripada khilaf terdahulu dalam dunia perniagaan.
“Ada yang cakap berniaga ini kena elok sikit dan jangan jadi macam dulu. Saya tahu itu khilaf dan kesilapan dulu.
Saya sedar kesilapan dan kelemahan sendiri. Tapi kalau nak tahu, saya tak pernah putus asa, sentiasa mencari peluang dan perbaiki diri.
“Saya sentiasa nak majukan apa yang saya lakukan kerana mahu memberi manfaat untuk orang lain,” katanya seraya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM