Richard Marx tidak dimamah usia di puncak Genting Highlands

KALI kelima di sini. 80-an, 90-an, 2000-an dan sekali lagi era 2020-an. Sangat bersyukur dapat kembali.”

Demikian ungkap penyanyi terkemuka dunia, Richard Marx yang berjaya menghipnosis kira-kira 4,000 penonton pada konsert Endless 60th Diamond Jubilee Celebration with Richard Marx malam tadi.

Bertempat di Arena of Stars, di sini, Richard atau nama lengkapnya Richard Noel Marx, 61, tampil bertenaga dengan paduan vokal, petikan gitar, dentingan piano bersama pemuzik iringan yang mempesona.

Biarpun usia sudah melepasi garis angka 60 tahun, perihal itu sedikit pun tidak menggoyahkan langkah pemenang trofi Grammy menerusi Dance with my Father itu di atas pentas.

Mendendangkan 17 trek termasuk hit sepanjang zaman Hazard, Hold On To The Nights dan Endless Summer Nights, penyanyi kelahiran Chicago, Illinois, Amerika Syarikat itu turut mendendangkan beberapa lagu bakal dimuatkan dalam album terbaharunya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Kalian beruntung kerana menjadi antara yang pertama mendengar lagu ini secara live (langsung),” katanya yang kemudiannya mendendangkan single baharu berjudul Magic Hour dilancarkan 4 Ogos lalu.

Richard turut mendendangkan lagu ikonik Fly Me To The Moon (dendangan asal mendiang Faye Ballard) yang akan dimuatkan dalam album terbaharunya nanti.

Menutup tirai persembahan menerusi Satisfied yang dipetik daripada album keduanya berjudul Repeat Offender (1989), tidak lengkap persembahan Richard andai tidak mendendangkan lagu wajib yang diseru-seru ramai.

Kembali ke pentas pada segmen Encore, suami kepada aktres Daisy Fuentes tidak menghampakan peminat apabila mendendangkan Should’ve Known Better sebelum mengakhiri persembahan dengan nyanyian luar biasa, Right Here Waiting.

“Kita jumpa pada lain masa. Terima masih Kuala Lumpur untuk energi, malam yang indah ini,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok