TIADA pusingan U, penyanyi Zehra Zambri berharap permohonan perceraian yang kini berada di peringkat rundingan membabitkan Hakam Islah yang dilantik hakim berjalan dengan lancar.
Zehra, 38, berkata walaupun Hakam Islah itu menjurus kepada usaha untuk perdamaian dia tidak nampak ikatan perkahwinan dengan suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin, 42, dapat diteruskan.
“Saya difahamkan hari ini akan ada lantikan Hakam Islah yang diputuskan mahkamah untuk saya dan pihak defendan disusuli majlis Hakim iaitu kami serta hakam bersemuka untuk cari solusi.g’
Harapnya saya dapat jalan penyelesaian (kemelut) dengan diberi apa yang saya minta (cerai), seterusnya boleh bawa haluan masing-masing.
“Sama ada proses (talak) dapat diselesaikan hari ini juga bergantung kepada defendan (Nur Iqwan) kalau dia bersetuju. Cuma saya tak tahu macam mana pendirian defendan,” katanya ketika ditemui HibGlam di Mahkamah Rendah Syariah, Hulu Langat, pagi ini.
Zehra yang tiba di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi ditemani bapanya, Zambri Ahmad, tetap dengan pendirian enggan menggugurkan empat tuntutan yang dikemukakannya dalam permohonan perceraian.
Sebelum ini Nur Iqwan hanya bersetuju dengan satu daripada lima tuntutan iaitu tiada persefahaman sekali gus enggan menceraikan isterinya.
Antara tuntutan dikemukakan pada permohonan cerai Zehra adalah tiada persefahaman, culas menjalankan tanggungjawab, sikap suami, pengabaian dan perkahwinan yang sudah tidak dapat diselamatkan.
Pada 7 Mac lalu, Zehra memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ ke atas suaminya selepas mendakwa lebih tiga tahun berusaha mempertahankan rumah tangga mereka.
Mahkamah kemudian memutuskan agar pasangan terbabit melantik wakil bagi menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) disusuli lantikan hakam selepas tiada lagi jalan penyelesaisn
Zehra dan Nur Iqwan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela. – HIBGLAM