‘SEBELUM ini ada juga (respons) okey, tapi sekarang dia terus ghaib.”
Demikian maklum balas penyanyi Zehra Zambri mengenai suaminya, Mohd Iqwan Samsudin, 42, yang terus menghilang tanpa bertanya khabar mahupun menjenguk anak mereka sejak sebulan lalu.
Zehra berkata lelaki terbabit tidak lagi membalas panggilan selepas kali terakhir melawat puteri mereka, Zahiyah Iqleela, 2, yang dimasukkan ke hospital akibat masalah kahak dalam paru-paru pada 10 Julai lalu.
“Selepas saya tuntut cerai, komunikasi kami hanya mengenai keperluan anak sahaja tetapi sekarang dia selalu hilang apabila ditanya fasal keperluan anak.
“Kali terakhir dia ada datang tengok anak masa di hospital tempoh hari. Itu komunikasi terakhir kami. Lepas itu terus senyap.
“Nafkah untuk anak pun tiada. Sebenarnya dari dulu keperluan anak banyak saya yang tanggung,” katanya ketika ditemui HibGlam di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pukul 9 pagi tadi tadi.
Zehra hadir ke mahkamah ditemani bapanya, Zambri Ahmad bagi menghadiri prosiding lantikan Hakam Islah iaitu lantikan pendamai yang ditentukan mahkamah.
Pada masa sama penyanyi lagu Semalakama itu hanya mahu lelaki terbabit menjalankan tanggungjawab sebagai bapa biarpun mereka dalam fasa perceraian.
“Saya mahu dia bertanggungjawab kepada anak. Sepanjang tempoh ini (sebulan), tiada usaha bertanya khabar atau menjenguk darah dagingnya sendiri,” ujarnya.
Pada 7 Mac lalu, Zehra memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ ke atas suaminya selepas mendakwa lebih tiga tahun berusaha mempertahankan rumah tangga mereka, namun menemui jalan buntu.
Begitupun, Nur Iqwan enggan melepaskan Zehra melainkan wanita terbabit menggugurkan empat daripada lima tuntutan yang dikemukakan di mahkamah.
Antara tuntutan adalah tiada lagi persefahaman antara mereka, culas menjalankan tanggungjawab, sikap, pengabaian serta institusi perkahwinan sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
Mahkamah kemudian memutuskan agar pasangan terbabit melantik wakil bagi menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) disusuli lantikan hakam selepas tiada lagi jalan penyelesaisn
Zehra dan Nur Iqwan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela. – HIBGLAM