MESKI bersedia berdepan segala dugaan apabila menjadi suri hidup pendakwah bebas, Syed Shah Iqmal Syed Mohamad Shaiful atau Da’i Syed, pengacara Hana Ismail mengakui terkesan dengan fitnah yang dilemparkan seorang wanita dalam media sosial baru-baru ini.
Hana menegaskan, tuduhan yang dilemparkan kononnya dia mengalami keguguran akibat kifarah ‘dosa’ suami sangat melampau apatah lagi si pelaku mengambil kesempatan menyerang suaminya ketika mereka dalam tempoh berduka.
“Sejujurnya, saya tidak kisah. Apabila berkahwin saya bersedia dengan segala kemungkinan.
“Namun, si pelaku memuat naik video pada masa yang salah, lebih-lebih lagi saya berada dalam fasa pemulihan.
“Secara fizikal memang nampak saya okey, tetapi hakikatnya saya dalam fasa penyembuhan emosi dan mental,” katanya kepada HibGlam.
Mengakui hati masih lara susulan kehilangan kandungan sulung yang mencecah usia 10 minggu, pemilik nama lengkap Nurul Hana Ismail itu bersyukur Allah kirimkan sistem sokongan kuat buatnya.
“Saya bukan malaikat. Tidak dinafikan memang saya rasa sedih dan kecewa.
“Kurang sebulan saya kehilangan anak dan menghadapi proses pantang. Naluri ibu sudah ada jadi saya rindu untuk hamil. Ditambah dengan situasi seperti ini, memang terganggu.
“Alhamdulillah ada suami, umi, abah, dan keluarga mertua yang tidak putus memberikan kata semangat dan sokongan. Orang ramai juga yang banyak mendoakan saya,” jelasnya.
Dalam masa sama, Hana menitipkan pesanan kepada orang ramai terutama pengguna media sosial menyelidik terlebih dahulu kisah sebenar sebelum membuat andaian supaya tidak menyakiti hati mana-mana pihak.
“Satu penganiyaan dan kezaliman ke atas saya. Ini ujian buat suami, saya, si pelaku dan orang yang menonton video tersebut.
“Cuba lihat kedua-dua pihak terlebih dahulu daripada terus serang dan memberikan reaksi tidak wajar.
“Saya seru kepada orang ramai untuk bertabayyun (menyemak asas kebenaran) kerana reaksi anda sedikit-sebanyak memberikan impak kepada saya, suami serta ahli keluarga kami,” ujarnya lagi.
Semalam, Da’i Syed nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap dua wanita yang memfitnah isterinya keguguran akibat kifarah rogol.
Hana dan Syed mendirikan rumah tangga pada 3 Disember lalu dengan sekali lafaz di Masjid Ibnu Mas’ud, Kuala Lumpur. –HIBGLAM