‘Jauhi individu toksik, usah bazir masa tunggu mereka berubah’

NEKAD angkat kaki, penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein mengambil tindakan menjauhkan diri daripada individu toksik bagi menjaga kesejahteraan mental dan kehidupannya.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, berkata, dia enggan dilingkungi golongan yang membawa aura negatif kerana ramai lagi insan positif di sekelilingnya.

“Bagi saya mudah sahaja untuk kita kekal tenang iaitu dengan cara menghindari mereka yang bersikap toksik. Jangan ada apa-apa kaitan dengan mereka.

Kita layak dapat kawan yang lebih baik, bawa aura positif, bahkan paling penting kena selalu utamakan kesihatan mental, itu lebih utama.

“Usah bazirkan masa tunggu mereka berubah, cukuplah kita sendiri lorongkan diri berada dalam persekitaran kecil tapi menyenangkan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Kilauan Emas musim lapan, baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman, Elly atau mesra disapa Kak Lina Pom Pom itu juga memilih tidak melayan mana-mana individu yang sengaja mencetuskan provokasi.

Katanya, mungkin pihak terbabit mahu menyerlah tetapi dirinya tidak berminat untuk berada sama tahap dengan individu toksik itu.

Memang ada jenis jerit depan pintu, jadi kita elak kalau dah nampak tanda-tanda sebegitu, jangan dilayan kerana itu sebenarnya kemahuan mereka.

“Bukan takut, cuma kalau dilayan nanti kita juga setara macam mereka sedangkan kita dididik dengan adab dan hormat orang sekeliling,” ujarnya.

Mengenai Kilauan Emas 2025 yang akan mula bersiaran pada 26 Ogos depan di Astro Prima, Elly yang diamanahkan sebagai pengacara utama teruja untuk memeriahkan program pertandingan itu.

Sebagai hos, saya juga memainkan peranan penting dalam memastikan emosi peserta tenang kerana banyak cabaran menanti sepanjang perjuangan mereka ini.

“Melihat bakat serta keupayaan yang ditonjolkan 12 peserta dalam persembahan pengenalan, saya jangka persaingan juga semakin sengit,” ujarnya.

Selain pelawak Joey Daud selaku hos belakang pentas, Kilauan Emas 2025 turut diserikan barisan juri popular iaitu Erra Fazira, Ning Baizura dan Roy Azman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok