Bintang veteran Loni Anderson meninggal dunia

PELAKON veteran Hollywood, Loni Anderson yang mencipta nama menerusi siri komedi WKRP in Cincinnati sekitar 1970-an meninggal dua hari sebelum ulang tahun ke- 80, semalam.

Jurucakap keluarga dan publisis lamanya, Cheryl J. Kagan, berkata Anderson menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Los Angeles selepas mengalami penyakit berpanjangan.

“Kami amat berdukacita untuk mengumumkan pemergian isteri, ibu dan nenek tersayang kami,” kata keluarga mendiang dalam satu kenyataan.

WKRP in Cincinnati yang disiarkan dari tahun 1978 hingga 1982, mengisahkan sebuah stesen radio yang bergelut untuk kekal relevan dengan muzik rock.

Penggiat seni kelahiran Minnesota itu memegang watak setiausaha stesen yang bijak dan glamor, apabila menggunakan daya tarikan untuk mengurus situasi kerja serba mencabar.

Karakter tersebut menjadikan beliau sebagai ikon televisyen sekali gus layak menerima dua pencalonan Anugerah Emmy serta tiga pencalonan Golden Globe.

Selain kejayaan di televisyen, Anderson turut membintangi filem Stroker Ace bersama aktor Burt Reynolds pada 1983.

Mereka kemudian menjalin cinta sebelum mendirikan rumah tangga dan menjadi perhatian media sebelum berpisah dengan dramatik pada 1994.

Anderson juga pernah mendedahkan perjalanan perkahwinan mereka dalam autobiografi My Life in High Heels yang diterbitkan pada 1995.

“Saya fikir jika anda mahu menulis mengenai diri sendiri, anda harus berlaku jujur termasuk sisi buruk.

“Anda mungkin tidak akan menulis perkara paling indah mengenai diri sendiri kerana anda berkata benar,” katanya kepada AP.

Sepanjang kerjayanya, aktres terbabit turut muncul dalam drama bersiri seperti S.W.A.T., Police Woman, dan Easy Street, serta filem televisyen seperti White Hot: The Mysterious Murder of Thelma Todd.

Majlis pengebumian difahamkan akan diadakan secara tertutup membabitkan keluarga dan kenalan terdekat di Hollywood Forever Cemetery.

Anderson meninggalkan suami juga penyanyi, Bob Flick bersama anak perempuan, Deidra dan menantunya Charlie Hoffman.

Mendiang juga meninggalkan anak hasil perkahwinannyq dengan mendiang Reynolds iaitu Quinton Anderson Reynolds.

Anderson dilapor mendirikan rumah tangga sebanyak empat kali, dengan perkahwinan terakhir bersama Flick pada 2008.

Menyingkap asal usulnya, Anderson dilahirkan pada 5 Ogos 1945 di St. Paul, Minnesota. Ayahnya seorang ahli kimia alam sekitar manakala ibu merupakan peragawati.

Beliau yang menceburi lakonan sekitar 1966 beraksi kali terakhir dua tahun lalu dalam filem saluran Lifetime, Ladies Of The 80s: A Divas Christmas bersama Linda Gray, Donna Mills, Morgan Fairchild dan Nicollette Sheridan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok