Tiket malam kedua konsert MCR ‘sold out’ lagi

LARIS bagai pisang goreng panas, tiket malam kedua konsert My Chemical Romance (MCR) di Stadium Nasional Bukit Jalil habis disambar dalam tempoh beberapa jam hari ini.

Penganjur Hello Universe berkata, persembahan mega dua hari berturut-turut MCR South East Asia Tour 2026 pada 30 April dan 1 Mei 2026 itu dengan jumlah keseluruhan penonton seramai 120,000 orang menjadi konsert terbesar di rantau ini.

“Ini adalah detik bersejarah untuk negara dan Asia Tenggara apabila secara rasmi tiket malam kedua My Chemical Romance di Kuala Lumpur licin dalam tempoh beberapa jam.

Secara keseluruhan sebanyak 120,000 tiket habis dijual, sekali gus mencipta rekod baharu bagi konsert di stadium membabitkan band antarabangsa di rantau ini.

“Ini menjadikan Kuala Lumpur bukan sahaja satu-satunya lokasi dalam jelajah Asia Tenggara dengan dua malam persembahan berturut-turut, malah menjadi tuan rumah kepada jumlah penonton terbesar pernah dicapai My Chemical Romance di rantau ini,” katanya.

Pencapaian itu turut menandakan kali pertama dalam sejarah Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi lokasi dua malam berturut-turut bagi konsert berskala antarabangsa.

Konsert ini juga merupakan acara muzik global terbesar di Malaysia untuk 2026 iaitu bertepatan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026,” ujarnya.

Pada 23 Julai lalu, penganjur My Chemical Romance South East Asia Tour 2026 mengumumkan tambahan satu malam lagi konsert mega di negara ini iaitu pada 1 Mei depan selepas tiket malam pertama kemunculan band dari Amerika Syarikat itu habis ditempah dalam tempoh 90 minit.

Selain Malaysia, kumpulan terbabit dijadualkan singgah di beberapa negara lain seperti Korea Selatan, Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia.

Sebelum ini, pada 11 Julai lalu tiket sebanyak 60,000 unit habis dijual dalam tempoh hanya satu setengah jam selepas dibuka pada pukul 11 pagi.

Terdahulu My Chemical Romance pernah datang ke Malaysia dalam siri jelajah The Black Parade World Tour sekitar tahun 2007 di Stadium Merdeka yang menghimpunkan lebih 10,000 peminat.

Ini merupakan kemunculan pertama kali kumpulan berkenaan sejak lebih 18 tahun lalu, sekali gus membuatkan ramai penggemar tegar teruja.

Band yang diasaskan pada 2001 itu dibarisi Gerard Way selaku vokalis; Ray Toro (gitar); Frank Iero (gitar) dan Mikey Way (bes).

Mereka dikenali dengan lagu Welcome to The Black Parade, Helena, I Don’t Love You dan I’m Not Okay – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok