Nak berlakon, anak saya tetap kena pergi uji bakat – Nabil

BARU berusia 13 tahun, anak sulung pelawak Nabil Ahmad iaitu Naira Mikayla sudah menunjukkan minat serta bakat dalam dunia pengacaraan.

Jika sebelum ini hanya menonton bapanya berseloroh dan mengendalikan acara, kini Mikayla berada di tempat yang sama menjadi  ‘support sister’ dalam program The Chosen One musim ketiga.

Mikayla mengakui pengalaman pertama di hadapan kamera adalah sesuatu yang mendebarkan hingga hampir menitiskan air mata.

Namun, apabila menempuhi detik cemas tersebut segala ketakutan terus hilang dan yang tinggal rasa seronok mahu buat lagi. 

“Sebelum naik ke atas pentas saya sangat panik dan hampir menangis. Saya juga tanya mommy boleh ke tak nak buat sebab takut. 

“Sampai saya tak nak bercakap dengan semua orang atas pentas. Saya dah mula rimas dengan orang nak rakam saya. 

“Apabila naik ke pentas saya okey saja. Boleh bercakap macam biasa, mula-mula saja rasa takut tapi lama-lama seronok,” kongsinya kepada HibGlam. 

Meskipun pertama kali mencuba nasib, anak sulung daripada tiga beradik itu tampak semakin tertarik dengan dunia hiburan dan terbuka untuk mengikut jejak langkah bapanya.

“Mungkin boleh (ikut jejak ayah). Saya pun mula suka bidang ini sebab nampak seronok. 

“Banyak nasihat yang ayah berikan seperti jangan panik sangat di atas pentas dan tak tengok terus ke mata penonton,” tuturnya lagi. 

Sementara itu, Nabil bersyukur apabila syukur apabila puterinya terpilih menyertai program The Chosen One Xtra, yang disifatkan sebagai platform terbaik untuk mempelajari ilmu pengacaraan.

“Saya bersyukur Mika dipilih, bukan senang nak dapat peluang untuk menjejakkan kaki dalam industri.

“Kadang-kadang saya simpati juga melihat anak orang lain yang buat macam-macam untuk rebut peluang masuk ke dalam industri. Usaha yang mereka letakkan memang dahsyat.

“Jadi bila Mika dapat peluang ini, saya memang sangat-sangat bersyukur. Tapi dia tetap kena pergi uji bakat, proses dia sama macam orang lain dan dia juga kena masuk kelas bersama Datuk Aznil Nawawi,” jelasnya yang juga salah seorang pengacara dalam program tersebut.

Utamakan pelajaran 

Bangga dengan pencapaian anaknya, Nabil bagaimanapun tetap mengutamakan pelajaran dan tidak mahu Mikayla terlalu hanyut dalam kesibukan dunia hiburan. 

“Walaupun bayaran mungkin tidak tinggi, tapi yang penting saya nak dia rasai sendiri pengalaman dan dapat gambaran macam mana susah payah saya mencari duit.

“Bagai­manapun pelajaran tetap nombor satu. Macam mana penat sekali pun kena bersiaran langsung pada Ahad, Isnin tetap kena pergi sekolah macam biasa.

“Saya tak mahu Mika abaikan pelajaran. Platform ini hanyalah sementara untuk bantu Mika menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi dan berani.

“Saya nak bila dia melangkah ke dunia pekerjaan kelak, dia dah ada pengalaman itu. Jadi banyak lagi cabang yang boleh dia terokai selepas ini,” katanya lagi. 

Bercakap mengenai The Chosen One Xtra, Nabil akan bergandingan dengan pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah sebagai hos.

Rancangan tersebut bakal mencungkil bakat kanak-kanak bukan sahaja dalam nyanyian tetapi juga tarian, akrobatik dan kebolehan bermain instrumen muzik.

Musim ini kembali dengan barisan artis baharu sebagai jurulatih seperti Namie, Nikki Palikat, Achey, Tuju dan Loca B, Bunga Isme serta Naqiu.

The Chosen One Xtra akan bersiaran langsung bermula 25 Julai setiap Jumaat pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ceria dan Astro Ria.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok