KEHILANGAN pengawal peribadi beberapa hari lalu membuatkan penyanyi Indonesia, Bernadya gagal menahan sebak sewaktu mendendangkan lagu Masa Sepi pada konsert Untungnya Untungnya Malaysia Tour 2025, semalam.
Sehubungan itu, pemilik nama asal Bernadya Ribka Jayakusuma, 21, berharap pengunjung dapat mendoakan kesejahteraan arwah rakan sekerja yang dikenali sebagai Bung Norgen.
Sebenarnya saya mahu minta semua doakan seorang anggota pasukan saya bernama Bung Norgen. Dua hari lalu dia dijemput Tuhan.
“Kita doakan sama-sama semoga dia ditempatkan di tempat terbaik,” katanya usai menyampaikan lagu Masa Sepi di Zepp, Kuala Lumpur (KL).
Selain itu, pelantun lagu Bernadya berkongsi rasa hiba mengenangkan arwah yang begitu teruja mahu menyertai rombongan ke ibu negara.
“Padahal dia sangat semangat nak ikut ke KL. Dia sampai siapkan pasport untuk ikut ke sini.
“Jadi, semoga semangat dia ada bersama kita malam ini (semalam),” ujarnya.
Usai persembahan, penyanyi asal Surabaya itu menerima tepukan gemuruh daripada peminat sebagai tanda memberi sokongan.
Sebelum melanjutkan persembahan dengan lagu Sinyal-Sinyal, Bernadya sempat berseloroh mahu menceriakan suasana dan mengurangkan kesedihan yang dirasai.
“Okeylah, tak nak sedih,” selorohnya.
Sebelum ini, Bernadya memaklumkan menerusi hantaran InstaStorynya bahawa petugas yang selalu menjaganya meninggal dunia beberapa hari lalu namun tidak memperincikan punca kematian.
Meskipun sedang berduka, Bernadya tetap menunjukkan sikap profesional dengan meneruskan persembahan di KL semalam dan bakal beraksi di Kota Kinabalu pada 19 Julai depan. – HIBGLAM