Shila ikut saranan polis, tak beri komen isu ‘diserang’

Mengambil langkah selamat, penyanyi Shila Amzah enggan memberi sebarang komen mengenai dakwaan ‘diserang’ seorang selebriti legenda semasa sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 Mr D.I.Y semalam.

Menurut pengurusnya yang dikenali sebagai Aini Shuhaidah, tindakan pemilik nama lengkap Nurshahila Amir Amzah, 35, mendiamkan diri selepas mendapat saranan daripada pihak polis dan penganjur acara.

“Assalammualaikum kepada semua kawan-kawan media yang mencari dan nak temu bual Shila malam ini.

Kami memohon maaf, Shila tidak dapat memberi sebarang kenyataan atas nasihat pihak polis serta menghormati pihak klien dan penganjur acara malam ini,” katanya menerusi hantaran InstaStory.

Selain itu, Aini turut memaklumkan akan berjumpa media selepas Shila berada dalam keadaan baik.

Mohon maaf rakan-rakan media semua. Insya-Allah bila dah bersedia kita adakan temu bual ya,” ujarnya lagi.

Semalam, Shila mendakwa ‘diserang’ seorang artis legenda sehingga membuatkan dirinya mengalami kebimbangan melampau atau anxiety.

Pengurusnya yang dikenali sebagai Aini pula memberitahu pihak mereka sudah membuat laporan polis semalam.

Rentetan itu, beberapa nama artis senior mula menjadi sebutan netizen seperti Datuk Amy Search, Datuk Awie dan Ella yang turut membuat persembahan pada konsert yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur malam ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok