Isteri pengacara Akbar Sahari meninggal dunia akibat kanser

DALAM sekelip mata, dunia penyampai berita Astro Arena, Akbar Sahari, seakan-akan terhenti apabila isteri tercintanya, Noorsuzilawati Mohd. Noor menghembuskan nafas terakhir pada usia 44 tahun.
Perkhabaran duka itu dikongsikan oleh hos, Ahmad Fedtri Yahya menerusi satu hantaran Instagram.
“Berita sedih pagi ini. Dapat berita Noorsuzilawati binti Mohd. Noor, isteri kepada sahabat saya Akbar Sahari telah pergi buat selamanya.
“Lama berjuang dengan kanser, sebak melihat perjuangan keluarga ini untuk kesembuhan.
“Kami sudah bersahabat lebih 20 tahun, malah saya sendiri yang menjadi pengacara majlis kahwin mereka dulu. Perjuangan demi perjuangan dalam hidup. Akhirnya, Allah jua tempat berpulang.
“Semoga Allah ampunkan segala dosa arwah Suzie dan keluarga, terutama anak-anak, diberi ketabahan atas ujian besar ini,” katanya.
Sementara itu, Akbar dalam satu hantaran ringkas di Insta Story hanya menzahirkan kesedihan dengan ucapan takziah buat arwah isterinya.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un,” tulisnya.
Difahamkan, Allahyarham Noorsuzilawati disahkan menghidap kanser usus tahap empat sejak tahun 2020, dan penyakit tersebut merebak ke beberapa organ lain termasuk hati, paru-paru serta ovari. – HIBGLAM
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok