36
PENYANYI Azharina Azhar, mengakui sudah lama menanggung kelelahan mental dan emosi sehingga memaksanya mendapatkan bantuan daripada pakar pemulihan jiwa, Dr Hisham Dzakiria atau lebih dikenali sebagai Dr Healing.
Azharina, 39, mengakui selama ini hanya berpura-pura kuat di hadapan khalayak, namun realitinya, jiwanya pernah berada di tahap terlalu tenat.
“Saya pernah sampai ke tahap terlalu penat secara mental dan emosi.
“Ramai nampak saya menyanyi, tersenyum atas pentas, tapi hakikatnya saya simpan terlalu banyak luka lama,” katanya.
Tambah pelantun lagu Elergi Sepi itu, dia mula sedar tentang beban emosi yang terpendam setelah menyertai sesi khas bersama pakar terbabit.
“Bila saya sertai sesi dengan Dr Hisham, saya mula menangis tanpa sedar.
Rasa macam saya dilepaskan, saya dibebaskan. Itu pengalaman yang saya tak pernah rasa sebelum ini,” ujarnya.

Dr Hisham, yang kini dikenali sebagai ‘Coach Jiwa Negara’, mencipta fenomena tersendiri dalam kalangan selebriti, tokoh korporat dan masyarakat umum menerusi pendekatan holistik yang menyatukan tubuh, minda, emosi dan jiwa.
Menurut juara Bintang RTM 2001 itu, langkah mendapatkan bantuan bukan satu kelemahan, sebaliknya bukti seseorang itu mahu menyembuhkan diri dan bergerak ke hadapan.
“Saya tak malu nak cakap saya pun perlukan healing. Saya bersyukur ditemukan dengan Dr Hisham.
“Saya doakan lebih ramai orang berpeluang rasa sendiri magis yang beliau bawa,” tuturnya.
Dengan keberanian Azharina tampil mendedahkan perjuangan batinnya, semakin ramai mula sedar bahawa kesihatan mental bukan isu remeh, sebaliknya satu keperluan untuk terus waras dalam dunia penuh tekanan.
“Saya kini menyanyi dengan hati yang lebih ringan. Bila hati sembuh, suara pun jadi lebih jujur,” luahnya. – HIBGLAM.