Finalis Masterchef Malaysia, bekas suami bersalah bunuh pembantu rumah, penjara 34 tahun

 

BEKAS finalis MasterChef Malaysia, Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong bersama bekas suaminya, Mohammad Ambree Yunos @ Unos, dijatuhi hukuman penjara selama 34 tahun selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah mereka empat tahun lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, mahkamah juga turut mengenakan tertuduh, Mohammad Ambree, 44, hukuman 12 sebatan manakala Etiqah, 37, dikecualikan daripada hukuman tersebut secara mandatori atas faktor jantina mengikut Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah.

Hukuman dijatuhkan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu oleh Hakim Datuk Dr. Lim Hock Leng menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh didapati bersalah membunuh Nur Afiyah Daeng Damin, 28, yang bekerja sebagai pembantu rumah mereka di sebuah kondominium di Penampang antara 8 hingga 11 Disember 2021.

Lim menyatakan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah, manakala pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap pertuduhan.

Tambahnya, pendakwaan berjaya membuktikan secara jelas elemen-elemen penting termasuk mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang dilakukan oleh tertuduh dengan niat mengikut Seksyen 300(c) Kanun Keseksaan dan kedua-duanya bertindak dengan niat bersama.

Mahkamah menegaskan bahawa walaupun kedua-dua peguam bela mengemukakan rayuan secara bersungguh-sungguh, namun kekejaman yang dialami oleh mangsa tidak boleh diabaikan.

Mahkamah turut mengambil kira jenis kecederaan serta cara kekejaman yang dilakukan dalam tempoh masa yang panjang.

Pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa kecederaan yang dialami oleh mangsa adalah disengajakan dan dilakukan oleh kedua-dua tertuduh.

Mangsa, seorang wanita muda yang datang ke Malaysia untuk bekerja, telah mengalami kecederaan parah dan didakwa didera setiap hari, termasuk tidak dibayar gaji serta dihalang daripada pulang ke negara asalnya.

Sebelum itu, kedua-dua tertuduh disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Mohammad Ambree yang juga seorang kontraktor diwakili peguam Ram Singh dan Kimberly Yee manakala Etiqah merupakan bekas finalis program MasterChef Malaysia 2012 dan seorang jurutera pula diwakili peguam Datuk Seri Rakbir Singh.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pasangan berkenaan ditahan pada 14 Disember 2021, iaitu sehari selepas mereka membuat laporan polis mendakwa menemui pembantu rumah mereka di atas lantai di kondominium mereka selepas balik daripada bercuti di Kundasang, Ranau. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok