Haliza Maysuri gayakan tudung RM70,000 simbolik menang saman

MENANG saman terhadap bekas pengedar yang memuat naik hantaran berbaur fitnah, pempengaruh dan usahawan Haliza Maysuri menghasilkan tudung eksklusif bernilai RM70,000 sebagai simbolik kemenangan tersebut.

Selaku Pengasas dan Pengarah Pemasaran Bawal Exclusive Sdn Bhd (BE) Haliza menegaskan tindakan tersebut diambil untuk menjaga maruah syarikatnya.

“Disebabkan kami menang saman semalam saya arahkan kilang buat tudung bernilai RM70,000 yang saya pakai hari ini.

“Saya bukan nak menipu tapi ini semata-mata untuk julang nama BE semula.

“Maruah saya tak boleh dibayar dengan wang ringgit,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang akhbar hari ini.

Kongsinya lagi, tuduhan tak melulu terhadap syarikat memberi kesan buatnya kerana sudah membina BE selama 27 tahun dengan penat lelah bersama suami, Rosli Awang.

“Saya dan suami bina jenama ini daripada sewa bilik kecil ketika itu tiada beratus staf, modal dan pendidikan serta tak ada peguam yang jaga.

“BE dibina dengan jerih-perih dan peluh kami. Saya nak beri amaran jangan main-main dengan jenama saya, BE tidak sama dengan jenama lain.

“Jenama ini dibina dengan peluh air mata, dengan kesusahan tiada modal dan pendidikan tapi rakyat Malaysia perlu berbangga dengan kejayaan kami.

“Jenama swarovski mencari kami dan meletakkan kami sebagai branding rakan kongsi sehingga kami menjadi 10 teratas di syarikat itu,” kongsinya lagi.

Semalam, Mahkamah Sesyen Kota Bharu memerintahkan bekas pengedar BE, Rosmaliza Mansor membayar ganti rugi sebanyak RM70,000 kepada syarikat itu serta dua lagi pihak atas dakwaan fitnah dan kenyataan berniat jahat di media sosial.

BE bersama Bawal Sdn. Bhd. dan pengasasnya, Haliza Maysuri, memfailkan saman pada 18 Oktober 2024 berhubung satu hantaran di Facebook Rosmaliza yang didakwa memperlekeh usaha pemasaran produk mereka di TikTok.

Turut hadir adalah Mohd. Rosli Awang selaku Pengarah Urusan Bawal Exclusive dan Datuk Adnan Seman yang mewakili firma guaman Adnan Sharida & Associates.

Selain bayaran ganti rugi, Rosmaliza turut diarahkan membayar RM570 kepada Bawal Sdn. Bhd. atas satu invois tertunggak. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok