‘Macam terlalu awal untuk cari pengganti’

PELAKON yang juga  usahawan, Nur Fazura mengakui belum terfikir untuk mencari pengganti meskipun sudah lapan bulan bercerai dengan bekas suaminya, Fattah Amin. 

Menurut Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 42, biarpun hampir setahun memegang status sebagai janda, dia berasakan fasa kemusnahan perkahwinannya seperti baru berlaku. 

“Saya tak pernah terlintas langsung untuk mencari pengganti. Kerana saya rasa macam terlalu cepat dan awal untuk saya cari pengganti. Saya rasa macam baru sahaja bercerai.

“Tetapi sudah tentu ada ramai peminat yang mendoakan saya. Terima kasih kerana mendoakan yang baik-baik untuk saya. 

“Cuma seperti yang saya katakan, buat masa ini saya belum terfikir untuk mencari pengganti. Fokus saya adalah untuk anak saya, Nur Fatima dan bisnes,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Luar Biasa, di sini, semalam. 

Ditanya adakah mana-mana lelaki yang cuba untuk mendekatinya, kata Fazura perkara itu tidak pernah berlaku.

“Tak ada pun,” balasnya sambil ketawa.

Tambah pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadocia itu lagi, dia kini selesa hidup sebagai ibu tunggal.

“Sejujurnya saya sangat gembira, tenang dan lega dengan kehidupan sekarang. Saya rasa selesa. Biarpun ramai yang bertanya nak tak mahu ke cari pengganti,” kongsinya. 

Untuk rekod Fazura sah bercerai talak satu dengan Fattah Amin pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga. 

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok