CUKUP dengan judul-judul seperti Reversi, Ada Hantu, Ada Hantu 2, Mallbat: Misi Bakara dan Martabat: Misi Berdarah, semua itu merupakan senarai naskhah lakonan Shiqin Kamal bawah arahan Adrian Teh.
Melihat kekerapan ‘lamaran’ Adrian, ramai menganggap pemilik nama lengkap Nur Ashiqin Mohd. Kamal sebagai anak emas kepada sutradara terkenal itu.

DALAM Martabat: Misi Berdarah, Shiqin melakonkan watak seorang anggota tentera yang kuat melatah bernama Azza.
Tidak mengiyakan atau menafikan, Shiqin mengakui mudah bekerja dengan Adrian selepas terbabit dalam lima naskhah layar perak.
Ini filem kelima saya dengan Adrian, dia senang kerja dengan saya, begitu juga saya yang bersyukur apabila diberi kepercayaan. Mungkin ini terakhir, saya tidak tahu.
“Mungkin ada pelakon lain lagi berbakat. Saya jenis straight foward, cuba berikan yang terbaik.
“Kalau tidak boleh, saya akan berbincang dan gunakan apa yang sudah dibincangkan. Itu cara kami bekerja,” katanya kepada HibGlam.
Menafikan dirinya ratu di hati Adrian, pelakon filem Ada Hantu itu mengakui lelaki terbabit adalah pengarah kegemarannya kerana kebijaksanaan dalam berkarya.
Tidaklah ratu, sama saja dengan lain sebab kita macam kawan atau keluarga.
“Adrian boleh dikatakan pengarah kegemaran saya sebab dia bijak. Saya suka bekerja dengan orang bijak.
“Daripada filem Ada Hantu, kalau ada soalan dia mesti ada jawapan,” ujarnya dengan tenang.

SHIQIN bersama pelakon-pelakon Martabat: Misi Berdarah, Elvina Chua, Zahiril dan Nafiez Zaidi.
Ditanya sekiranya akan menerima tawaran daripada Adrian selepas ini, pelakon berusia 34 tahun itu tidak menolak untuk bekerjasama lagi.
“Insya-Allah, akan terima (kalau ada tawaran kerja dengan Adrian) sebab tahu naskhah dia bukan biasa-biasa.
Filem komedi macam ini (Martabat: Misi Berdarah) nak menjalani penggambaran dan ada idea begini tidak ramai boleh buat,” jelasnya.
Diva
Berkongsi lagi mengenai filem Martabat: Misi Berdarah, Shiqin turut berhadapan beberapa cabaran bagi memberikan hasil yang memuaskan.
“Cabaran pertama dalam filem ini adalah melatah, bukan senang sebenarnya. Bila menonton, ada bahagian yang saya tidak selesa, ada yang sudah tenang.
Selain itu, cabaran kedua adalah nama sebab keliru. Watak saya Azza yang merupakan nama sebenar kepada pembantu Amerul Affendy.
“Cabaran ketiga, saya ada adegan bertarung yang tidak pernah dilakukan selama ini,” jelasnya.
Dalam filem tersebut, terdapat satu babak memaparkan Shiqin membawakan watak sebagai pelakon ekstra dan tidak dilayan pelakon senior yang sangat diva.

SEKUMPULAN watak tebusan dan askar dalam satu babak filem terbaharu arahan Adrian Teh dan Zahiril Adzim yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 12 Jun lalu.
Babak tersebut mengingatkan Shiqin kepada momen awal penglibatan lakonan yang terpaksa berhadapan dengan pelakon senior bersikap diva.
“Saya pernah berhadapan situasi sama. Kita tengok sajalah, dalam fikiran saya tidak mahu jadi macam dia.
Tak salahkan perangai diva, ada momen-momen memang perlu bersikap diva sebab orang tak faham kedudukan dia di mana.
“Sama dengan orang lain sebab itu dia perlukan bersikap diva sedikit supaya orang hormat. Itu boleh diterima,” tutupnya. – HIBGLAM