PELAKON Zoey Rahman mengesahkan sepupunya antara mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi.
Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman, 40, terkejut menerima khabar duka melalui hantaran WhatsApp mengenai arwah iaitu Fakhrul Arif Rosli.
“Saya menerima khabar tersebut subuh tadi dalam group WhatsApp keluarga.
Mula-mula kami tidak tahu arwah selamat atau tidak, cuma tahu 15 orang saja yang meninggal.
“Tapi selepas beberapa minit baru dapat berita mengesahkan dia meninggal di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Difahamkan, arwah dalam perjalanan pulang dari kampung halaman di Pasir Akar, Jerteh, Terengganu ke UPSI, Tanjung Malim, Perak selepas menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga.
Pada masa sama, pelakon drama From Saga With Love itu turut menyifatkan arwah sebagai seorang yang sangat pendiam dan baik.
Dia turut berkongsi perbualan antara ibu dan arwah sebelum meninggal dunia.
“Saya tak balik kampung Aidiladha ini, kali terakhir pun jumpa pada Aidilfitri lalu.
“Saya boleh sifatkan dia seorang yang baik , pendiam dan bijak orangnya.
“Mak arwah ada cakap dia nak pergi ke luar negara untuk sambung belajar tetapi rupa-rupanya ke negeri abadi,” ujarnya lagi.
Berkongsi lanjut, Zoey memaklumkan masih menunggu berita terkini daripada keluarga arwah di hospital.
“Sekarang ini saya juga masih tunggu kemas kini daripada keluarga arwah kerana mereka sudah sampai di sana.
“Jenazah masih lagi di hospital untuk bedah siasat,” tuturnya.
Selain itu, dia berharap keluarga mangsa terlibat terus kuat menghadapi ujian berat ini.
Saya harap keluarga arwah dan mangsa yang lain tabah dengan ujian ini.
“Kemalangan memang tiada dapat dielakkan tapi saya harap ada tindakan selepas kejadian ini.
“Setiap kali musim perayaan ada saja perkara seperti ini berlaku melibatkan kenderaan berat,” jelasnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seramai 15 individu maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dengan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat JRTB, Gerik awal pagi ini.
Difahamkan bas itu dalam perjalanan ke kampus Universiti itu dari Jerteh, Terengganu.
Sebahagian mangsa nahas kemalangan di JRTB yang kini dirawat di Hospital Gerik berada dalam keadaan kritikal. – HIBGLAM