“SAYA masih ada hak bersuara dalam syarikat.”
Demikian kata, Cef selebriti Datuk Chef Wan mengenai dakwaan beliau bukan lagi pemegang saham dalam rangkaian restoran De. Wan 1958.
Menurut Cef Wan atau nama sebenarnya, Redzuawan Ismail,67, beliau masih mengekalkan 20 peratus pegangan ekuitinya dalam syarikat Metta Food & Lifestyle Sdn. Bhd. yang mengendalikan rangkaian restoran De. Wan 1958.
Bahkan Cef Wan juga masih bertanggungjawab menguruskan resepi, dapur dan cef di restoran tersebut.
“Saya jelaskan di sini selain ekuiti 20 peratus, saya juga mengambil 5 peratus hasil kasar setiap bulan untuk perbelanjaan sara hidup saya,” katanya menerusi Instagram.
Dalam pada itu, Chef Wan memberi amaran untuk mengambil tindakan saman kepada pihak yang menabur fitnah dan mahu memboikot perniagaannya gara-gara pertukaran pemegang saham.
“Saya membaca sebahagian daripada mereka yang kurang cerdik komen konon perniagaan bukan milik saya sahaja, tetapi pelabur Cina dan ada juga yang mencadangkan untuk memboikot perniagaan saya atau menabur fitnah.
“Tolong berhati-hati dalam menulis (komen) kerana kami boleh mengambil tindakan saman terhadap sebahagian daripada kamu yang menabur fitnah dan keluarkan cerita yang bukan-bukan,” ujarnya.
Terdahulu kecoh dalam media sosial apabila syarikat Metta Food & Lifestyle Sdn. Bhd. yang mengendalikan rangkaian restoran di bawah jenama De. Wan 1958 telah diambil alih Oasis Harvest Corp. Bhd. dengan pemegang saham sebanyak 45 peratus.
Pengambilalihan itu bertujuan memperkukuh kehadiran Oasis dalam sektor makanan dan minuman (F&B) di Malaysia dengan pertimbangan tunai sebanyak RM30.8 juta menerusi jenama sajian dimiliki Chef Wan. — HIBGLAM
Dalam pada itu, Oasis Harvest difahamkan telah menandatangani enam perjanjian bersyarat penjualan saham secara berasingan bagi pengambilalihan tersebut, termasuk dengan Globaltec Formation Bhd. yang memegang 45 peratus kepentingan dalam Metta.– KOSMO!ONLINE