‘Golden Voucher bukan gimik, saya ikhlas mahu kongsi rezeki’

KESAL dituduh menipu, penyanyi Noraniza Idris menjelaskan baucer tunai atau Golden Voucher dalam pek kudapan keluaran syarikat miliknya, Murukku Che Ani Premium diberikan secara rawak.

Kata pengasas produk makanan itu, pemberian dilaksanakan dengan ikhlas tanpa niat mencipta publisiti murahan seperti didakwa segelintir individu.

Niat saya hanyalah ingin berkongsi rezeki dengan cara yang paling ikhlas.

“Tetapi sayangnya ada yang menuduh semua ini hanya gimik kerana mereka tidak menerima Golden Voucher tersebut,” katanya ketika siaran langsung di TikTok.

Menurut penyanyi lagu Dikir Puteri itu, tidak bermakna ganjaran diberikan sebagai rekaan sahaja jika tiada sesi penyerahan baucer kepada pelanggan bertuah.

Katanya, memang sedari awal pihaknya tidak pernah merancang untuk membuat rakaman video sesi pemberian secara umum semata-mata mahu menunjukkan kebaikan.

“Dalam zaman serba moden ini, seolah-olah setiap kebaikan perlu ditayangkan secara terbuka untuk dipercayai ramai.

Sedangkan nilai keikhlasan itu lebih bermakna apabila perkara tersebut dilakukan tanpa perlu diumumkan.

“Saya mohon agar tidak mempertikaikan niat baik ini hanya kerana tidak semua bertuah mendapat Golden Voucher,” ujarnya.

Terdahulu, Noraniza mengumumkan mahu berkongsi rezeki dengan menyelitkan baucer tunai bernilai RM10, RM50 dan RM500 dalam pek maruku keluaran syarikatnya.

Begitupun, ada pihak mempersoalkan kejujurannya kerana mendakwa tidak memperolehi ganjaran diuar-uarkan sehingga mendakwa kena scam.

Sebelum itu Noraniza pernah berdepan kesulitan hingga hampir menutup operasi kilang muruku miliknya selepas syarikat mengalami kerugian besar mencecah RM600,00 akibat ditipu.

Pemberian tersebut juga dikatakan sebagai cara untuknya berterima kasih kepada pelanggan yang memberikan sokongan ketika bisnesnya berada pada fasa terendah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok