‘Fieya Julia bukan ‘taste’ saya’ – Luqman Faiz

PENYANYI Luqman Faiz menegaskan tidak menjalin hubungan cinta dengan Fieya Julia seperti yang disangka netizen.

Sebaliknya, kata Luqman atau nama sebenarnya Luqman Abdul Halim Faiz, 25, kemesraan mereka yang dilihat dalam media sosial hanyalah sebahagian promosi muzik video lagu duet Rumit.

Saya ada post gambar dengan Fieya, tapi itu semua bingkisan dari muzik video sahaja.

“Jadi, mengenai saya ada hubungan istimewa dengan Fieya, itu bukanlah satu isu. Itu hanya tanggapan orang,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tegas pelantun lagu Kepuraanmu itu, kapsyen berunsur cinta yang dimuat naik dalam media sosial turut mengambil inspirasi daripada lirik lagu dan bukan gimik untuk meraih publisiti murahan.

Dedahnya, semua itu hanya strategi pemasaran yang dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan promosi.

“Kapsyen hantaran itu mungkin berbaur cinta, tapi itu adalah lirik lagu saya.

Bukan gimik, itu promosi lagu terbaharu saya. Ini kerja team marketing saya, bukan kami yang muat naik,” ujarnya.

Paling penting kata Luqman, dia selesa bekerjasama dengan Fieya, namun tidak pernah terdetik untuk membawa hubungan itu ke fasa peribadi.

Malah, ketika diminta menyenaraikan ciri-ciri wanita idaman, dia secara jujur mengakui Fieya bukan dalam kategori pilihannya.

“Kami tiada apa-apa hubungan pun, tapi dia adalah partner kerja yang saya selesa. Ini adalah single pertama saya dengan dia.

Secara jujurnya, Fieya Julia bukan taste saya pun. Setiap manusia ada ciri pilihan masing-masing, saya pandang dia sebagai kawan dan rakan kerja sahaja.

“Saya suka gadis yang pendiam. Saya jenis yang tak duduk diam, jadi ‘partner’ saya kena yang chill, pemalu dan sopan,” dedahnya.

Terdahulu, beberapa hantaran dalam media sosial Luqman dan Fieya kelihatan cukup mesra bersama sehingga membuatkan netizen berbunga-bunga malah merestui andai mereka berdua bercinta. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok