‘Di London teater dipentaskan setiap hari, kenapa tidak di Malaysia?’

SELEPAS berjaya sebagai pelakon dan penerbit drama, aktor Ashraf Muslim kini aktif meneroka cabang perniagaan hiburan baharu iaitu pementasan teater.

Kata Ashraf, 43, dia melihat seni teater memiliki masa depan yang cerah di negeri yang menjadi tumpuan pelancong iaitu Melaka.

Oleh yang demikian, Ashraf menerusi syarikat penerbitannya, Boolan Trending mahu terlibat secara aktif dan serius dalam pementasan teater terutama naskhah tentang budaya dan sejarah tempatan.

“Sudah tiga tahun saya terlibat dalam teater dan saya lihat kurangnya pemain teater tempatan. Jadi, bagi saya ini adalah peluang untuk lebarkan sayap perniagaan dalam seni teater.

Saya pernah ke London, England, di sana mereka pentaskan teater setiap hari kenapa tidak di Malaysia? Contoh lain adalah Bali, di sana mereka ada persembahan tarian kecak yang menjadi tarikan pelancong dan penarinya sudah bergenerasi.

“Tidak hanya soal perniagaan, menerusi teater saya mahu menghibur dan mendidik terutama generasi muda tentang sejarah dan budaya kita sendiri. Sebab itu, saya lebih berminat menerbitkan naskhah teater sejarah,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Saat tidak ramai karyawan seni mahu melibatkan diri dalam teater kerana tidak memberi pulangan lumayan, berbeza pula dengan Ashraf yang melihat pentas teater sebagai lubuk emas.

Ashraf yang kini aktif menerbitkan teater di Panggung Bangsawan, Melaka mengatakan sebagai peniaga dia harus bijak mencari peluang.

“Berniaga perlu ada permintaan dan melihat data seramai 200,000 orang akan berkunjung ke Melaka setiap minggu, saya yakin dengan potensinya.

Tidak mungkin semua orang pergi ke tempat tarikan utama, mereka perlukan hiburan jadi pentas teater adalah salah satu pilihan.

“Di Melaka karya-karya sejarah dan budaya memang mempunyai permintaan yang tinggi, pelancong yang datang tidak secara langsung dapat mempelajari budaya kita,” tuturnya.

Tun Teja

Teater Tun Teja Srikandi Empayar Melaka akan dipentaskan di Panggung Bangsawan, Melaka pada 13 sehingga 15 Jun depan.

Berbicara tentang teater Tun Teja Srikandi Empayar Melaka yang akan dipentaskan di Panggung Bangsawan, Melaka pada 13 sehingga 15 Jun depan, kata Ashraf, ini adalah kali keempat dia terlibat dalam naskhah yang sama.

Biarpun telah beberapa kali dipentaskan, karya Tun Teja masih mendapat sambutan baik daripada penonton.

Sudah tiga kali saya terlibat dengan teater Tun Teja, setiap kali persembahan memang penuh. Walaupun skrip yang sama cuma bertukar pelakon, permintaannya tetap tinggi.

“Ada penonton yang datang berulang-kali dan ada juga penonton yang baharu. Kiranya, penonton di Melaka sahaja sudah cukup apatah lagi, pihak Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM) merancang bekerjasama dengan pihak luar negara pastinya pasaran akan menjadi lebih besar,” kongsi Ashraf.

Ditebak apakah yang menarik untuk menonton teater Tun Teja berbanding karya-karya seni lain, jawab Ashra, persembahan secara langsung memberi rasa yang berbeza berbanding rakaman.

“Beza kita menonton konsert secara langsung dengan hanya mendengar lagu, mana lagi seronok? Begitu jugalah dengan pentas teater. Sesekali apa salahnya berubah angin daripada tonton televisyen dan pawagam, pergi ke teater pula.

Memang bukan mudah kerana cabaran utama sudah tentu kewangan, tetapi saya yakin dengan sokongan kerajaan, penggiat seni dan juga orang ramai, industri teater boleh maju,” ujarnya.

Selain teater Tun Teja, di bawah PERTEM turut dipentaskan teater Sahmura Empayar Melaka pada 23 sehingga 25 Mei ini dan Tinta Runtuhan Bila Keris Berdenting Berbisik (31 Mei).

Tiket boleh didapati menerusi laman web, www.ticket2u.com.my. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok