MELAKONKAN watak gay menerusi drama Seribu Tahun, pelakon Nazrief Nazri menafikan dakwaan naskhah tersebut mempromosikan kisah ‘Boys Love’ atau BL.
Memegang karakter Dr. Zahar, Nazrief atau Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 34, berkata, banyak pengajaran diketengahkan di sebalik kewujudan watak sedemikian.
“Ada komen kata watak Dr. Zahar ini cubaan Malaysia nak memperkenalkan BL series tetapi sebenarnya tidak.
Drama Seribu Tahun bukan nak mempromosikan BL series.
“Episod terakhir Seribu Tahun, pengarah dan penulis skrip akan buat kesimpulan apa pengajaran nak disampaikan menerusi watak Dr. Zahar,” katanya dalam sebuah audio siar.
Pada masa sama, peserta Hero Remaja 2011/12 itu menjelaskan watak Dr. Zahar dicipta bagi membuka mata orang ramai tentang gejala hubungan cinta sejenis.
Bila pengarah dan penulis skrip wujudkan watak Dr. Zahar sebegitu, mereka nampak ini peluang untuk suarakan satu isu yang tidak pernah orang usik.
“Golongan homoseksual ini memang wujud dalam Malaysia.
“Tetapi apa tindakan kita? Adakah kita akan menjauhkan diri daripada mereka? Atau kita mendekatkan diri kita dengan mereka untuk mengajak mereka dekatkan diri dengan Tuhan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, watak Nazrief yang menjalinkan hubungan cinta sejenis dengan pelakon baharu Zarif Ghazzi dihujani komen negatif.
Selain Nazrief dan Zarif, Seribu Tahun diterajui barisan pelakon popular Azhan Rani, Noorkhiriah, Emma Maembong, Laila Nasir, Didie Alias dan Ashraf Muslim.
Drama tersebut bersiaran sejak 5 Mac lalu di saluran Astro Ria pada setiap Rabu dan Khamis pukul 9 malam. – HIBGLAM